story images
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
LINTAS LANGSUNG: Baju merah akhiri demonstrasi
Diterbitkan:  Nov 5, 2016 6:10 AM
Dikemaskini: 9:43 AM

Gerakan baju merah diketuai oleh Ketua Umno bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos bertekad untuk mengadakan demonstrasi berhampiran pejabat Malaysiakini petang ini.

Mereka membantah aktiviti pembiayaan beberapa organisasi tempatan oleh Open Society Foundation (OSF), sebuah organisasi pemberi geran yang dikendalikan oleh jutawan George Soros.

[Galeri foto di sini]

Menurut Jamal, Soros bertanggungjawab terhadap krisis kewangan Asia pada tahun 1997 dan membiayai revolusi di banyak negara di seluruh dunia.

Pada asalnya, gerakan baju merah sepatutnya berkumpul hari ini di Dataran Merdeka sebagai permulaan untuk himpunan 19 November ini sebagai penentangan terhadap perhimpunan BERSIH 5.

Pihak berkuasa telah melarang mereka daripada berkumpul di Dataran Merdeka dan kumpulan itu menukar rancangan dengan memilih untuk berhimpun di pejabat Malaysiakini.

Pihak polis dari ibu pejabat daerah Petaling Jaya dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) telah berlegar-legar di sekeliling kawasan Business Park PJ51 yang menjadi lokasi pejabat Malaysiakini.

Laporan LINTAS LANGSUNG:

4.25pm: Jamal berkata, beliau dimaklumkan oleh pihak polis bahawa pengurusan dan kakitangan Malaysiakini telah 'lari' dari pejabat.

"Kami berhasrat nak jumpa dengan pihak pengurusan. Polis kata mereka dah lari yang tinggal hanya bangla jaga pintu cuci jamban. Kita takkan bertempur dengan pihak polis," ujar Jamal.

Dia kemudian mengatakan baju merah bersedia untuk tidak berhimpun pada 19 November ini jika BERSIH melakukan perkara yang sama.

"Tetapi jika mereka teruskan, kami bersedia untuk perhimpunan walaupun terdapat konfrontasi antara merah dan kuning," tambah beliau.

Beliau kemudian mengetuai kumpulan tersebut untuk bersurai.

4.18 petang: Jamal akhirnya memujuk peserta baju merah agar menamatkan tunjuk perasaan itu dan meminta mereka untuk bersurai.

Beliau kini mengadakan sidang media.

4.09 petang : Para peserta dilihat berundur dari penghadang besi yang diletakkan oleh pihak polis dan bertindak meninggalkan kawasan kompaun yang menempatkan pejabat Malaysiakini.

Polis menahan baju merah 50 meter dari pintu masuk pejabat Malaysiakini.

Kebanyakan daripada khalayak ramai menjadi resah, menjerit "rempuh" dan "gerak, gerak".

Peserta baju merah di bahagian hadapan menyeru untuk bertenang.

Jamal didengari menjerit dengan berkata: "Kita tidak berada di sini untuk berjuang dengan saudara-saudara kita yang menjaga keamanan,".

Jamal menyeru pengurusan Malaysiakini untuk keluar untuk bertemu dengan mereka. Orang ramai meneriak tanda bersetuju.

4.00 petang : Para peserta yang dianggarkan seramai 700 orang dan dikepalai oleh Jamal telah bergerak menghampiri perkarangan pejabat Malaysiakini namun disekat oleh penghadang besi.

Mereka kini berada dalam kawasan PJ51 Business Park dan hanya sekitar 20 meter dari pejabat Malaysiakini.

3:45 petang: Kelihatan seperti penganjur mengadakan demonstrasi silat. Beberapa pengamal seni bela diri yang dipukul dengan kayu dalam demonstrasi dilihat kesakitan.

3.35pm: Bunyi vuvuzela menyambut kedatangan Jamal. Mengiringi beliau adalah Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwandin Hamzah.

"Kami akan tutup Malaysiakini. Kami akan kuburkan Malaysiakini!" Azwandin memberitahu orang ramai yang menjerit 'betul' sebagai tanda setuju.

Ucapan beliau diikuti oleh tayangan video mengenai George Soros.

Tidak dapat dipastikan berapa jam pihak polis akan membenarkan himpunan ini berlangsung namun pihak FRU telah menghidupkan enjin trak masing-masing.

3.30 petang: Jamal akhirnya tiba dan berucap kepada para peserta.

3.25 petang: Terdapat sekurang-kurangnya 500 peserta di lokasi. Lebih ramai yang turun dari bas.

Seorang lelaki memberitahu Malaysiakini bahawa kumpulan lain yang berjumlah kira-kira 100 peserta datang dari Kepong.

Polis mengarahkan bus untuk berpatah balik, memaksa kebanyakan penunjuk perasaan untuk berjalan.

3:15 petang- Lebih 150 peserta himpunan Baju Merah tiba dan berkumpul di hadapan kilang Nestle.

Kebanyakan mereka dari golongan anak muda.

3.10 petang:  Seorang penyokong baju merah, yang digelar 'Abang Hulk Hogan', berkata mereka berada di situ hari ini untuk menunjukkan mereka adalah "berani".

Lelaki itu juga mengatakan dia bersedia berdiri di hadapan FRU walaupun kepalanya dicederakan.

Mendakwa dia adalah seorang pembela Islam, lelaki itu mengatakan mereka mahukan negara ini menjadi aman.

3.05 petang:  Exco Pemuda Umno Armand Azha Abu Hanifah menemui orang ramai dari belakang trak dan memberitahu bahawa mereka berada di sini untuk menentang Malaysiakini kerana menerima dana Yahudi.

Bagaimanapun beliau berkata kumpulan itu menghormati media dan polis yang hadir.

"Tulis yang benar, tidak putar-belit dan menulis berita palsu. Ini bukan satu perhimpunan perkauman, ia adalah satu perhimpunan nasionalis," tambah beliau.

2.45 petang: Himpunan kini berjumlah kira-kira 300 peserta dan melaungkan beberapa slogan Anti-BERSIH dan Anti-Malaysiakini.

Seorang lelaki berucap di hadapan orang ramai dan berkata bahawa kumpulan itu mewakili semua rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa dalam tentangan terhadap BERSIH 5.

Terdapat sekurang-kurangnya dua peserta bukan Melayu dalam kumpulan berkenaan.

Salah seorang daripada mereka yang memanggil dirinya Anil berkata, beliau dari Ipoh dan menjadi sebahagian daripada perhimpunan untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Ditanya sama ada beliau menyokong Jamal, Anil berkata: "Ya, kami sokong kerajaan.".

2:30 petang: Seorang peserta baju merah yang masih muda berkata kumpulannya yang terdiri daripada 300 orang, kebanyakannya remaja datang dari Meru.

Mereka telah berada di sini sejak tengah hari tadi. Ramai yang memakai skaf yang tertera "Himpunan Maruah Melayu" untuk menutup muka.

Satu peserta yang memperkenalkan dirinya sebagai Faiz, 15 memberitahu Malaysiakini bahawa mereka dibawa menaiki bus.

Satu lagi peserta yang bernama Haziq, 14, tidak pasti tujuan perhimpunan tersebut.

"Saya tidak tahu. Ada orang suruh saya datang bersama-sama," katanya.

Sesetengah daripada mereka memegang sepanduk yang berbunyi: "Lindungi kerajaan yang dipilih oleh rakyat."

Satu lagi sepanduk, disertai dengan gambar penyokong BERSIH memijak gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tertera: "Orang Melayu masih ingat".

2.20 petang: Laungan "Tutup Malaysiakini" dan "Hancur Malaysiakini" bergema.

Satu kain rentang dengan tulisan "Maria Chin & BERSIH 5 boneka Soros & Cina DAP".

Satu lagi kain rentang tertera: "Kami sedia bertempur".

Dengan ketiadaan pemimpin mereka, peserta baju merah kelihatan berkecamuk.

2:15 petang: Sekumpulan wanita dalam usia pertengahan umur dari Sungai Buloh kelihatan terpinga-pinga dalam perhimpunan tersebut.

"Kami tidak pasti. Mungkin kita berada di sini untuk menyokong orang Melayu," kata seorang wanita berbaju merah memberitahu Malaysiakini.

Terdapat kira-kira 80 peserta dalam kumpulan itu.

1:50 petang: Bunyi mercun berdentum di luar Business Park PJ51.

Kira-kira 100 peserta baju merah berkumpul agak jauh daripada pintu masuk utama dan dilihat sedang makan tengahari di tepi jalan.

Kebanyakan mereka adalah golongan belia.

1:45 petang: Sebahagian daripada baju merah tiba dengan beberapa buah bas bertanda 'Bas Kilang'.

Terdapat beberapa gerai di luar Business Park PJ51 sedang menjual baju-T merah.

Beberapa anggota polis telah ditempatkan di sekitar kawasan itu. Terdapat sebuah trak meriam air diletakkan di dalam kompaun.

Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
Paling Popular
Terkini