Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rafizi kekal MP hingga rayuan selesai, kata SPR
Diterbitkan:  Nov 14, 2016 5:27 PM
Dikemaskini: 9:46 AM

Mohd Rafizi Ramli yang dijatuhi hukuman penjara 18 bulan atas kesalahan memiliki dan mendedahkan laporan pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih kekal sebagai Anggota Parlimen Pandan.

Kedudukan beliau seterusnya akan diketahui selepas proses rayuan beliau selesai sepenuhnya.

Menegaskan demikian, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata, walaupun mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan ke atas Naib Presiden PKR itu, beliau berhak membuat rayuan berdasarkan peruntukan di bawah Perkara 48(4)(b) Perlembagaan Persekutuan.

"Oleh yang demikian kerusi yang disandang oleh beliau tidak akan menjadi kosong dan kedudukan beliau kekal seperti sedia ada sehinggalah proses rayuan di bawah Perlembagaan Persekutuan selesai sepenuhnya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Hashim berkata, oleh itu adalah tidak wajar bagi SPR membuat ulasan berkaitan keperluan mengadakan pilihan raya kecil bagi kerusi tersebut.

"Tambahan pula dalam kes ini, berdasarkan laporan oleh pihak media bahawa rayuan akan difailkan oleh Mohd Rafizi," tambahnya.

Mohd Rafizi hari ini dijatuhi hukuman penjara itu oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas didapati bersalah memiliki dan mendedahkan laporan pengauditan 1MDB pada Mac lepas.

Hakim Zulqarnain Hassan menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan bagi setiap satu daripada dua pertuduhan terhadap Mohd Rafizi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 dan memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula hari ini.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan difailkan ke Mahkamah Tinggi, dengan menaikkan jumlah jaminan daripada RM3,000 kepada RM5,000.

- Bernama

Lihat Komen
ADS