Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rafizi desak PM perjelas ura-ura berkaitan GLC
Diterbitkan:  Dec 7, 2016 6:13 PM
Dikemaskini: 11:14 AM

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mendakwa menerima maklumat salah satu konglomerat berkaitan kerajaan (GLC) akan disenaraikan di Singapura pada tahun hadapan sebagai tukar ganti akan bantuan kewangan mengejut oleh China.

"Berita yang disiarkan oleh Financial Times hari ini benar-benar merunsingkan saya kerana ia seolah-olah mengesahkan maklumat yang saya perolehi beberapa bulan lepas mengenai kemungkinan salah satu GLC akan disenaraikan di Singapura dalam tahun 2017.

"Penyenaraian tersebut bagi memberi ruang kepada syarikat yang dikawal kerajaan China (secara langsung atau tidak langsung) menguasai sebahagian besar dari sahamnya.

"Soalan saya ialah GLC manakah yang mempunyai pengaruh yang sebegitu besar untuk dijadikan pertukaran bagi bantuan kewangan mengejut sebanyak RM30 bilion mengikut laporan Financial Times hari ini?" tanya Rafizi.

Menurut Financial Times dalam laporanya hari ini, China akan membantu 1MDB dalam membuat bayaran balik kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) membabitkan sejumlah AS$6.5 bilion.

Tiga individu yang rapat dengan hal tersebut berkata, China telah dilamar untuk menjadi sumber dana 1MDB dengan Malaysia akan menukar aset untuk pembiayaan.

Dakwaan berkenaan, bagaimanapun, tidak dapat disahkan secara bebas oleh Malaysiakini.

Mengulas lanjut, justeru, kata Rafizi, pihaknya mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelaskan sama ada bantuan kewangan dari kerajaan China akan menyebabkan salah satu GLC di atas dilibatkan di dalam urusniaga baru itu.

"Jika beliau berdiam diri, desas desus ini tidak akan berhenti dan saya akan terus menyiasat sehingga butiran aset yang ingin diurus niagakan diketahui umum," kata beliau yang juga naib presiden PKR.

Malaysiakini sedang cuba untuk menghubungi Kementerian Kewangan bagi mendapatkan maklum balas mengenai dakwaan Rafizi itu.

Lihat Komen
ADS