Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Pelakon dan pengacara Harith Iskander berpeluang menjadi manusia paling kelakar di dunia jika undi penyokong terus memihak kepadanya.

Menyertai pertandingan Laugh Factory, Harith bersaing sengit merebut gelaran itu bersama empat pelawak lain.

Harith memberitahu Malaysiakini bahawa kejayaan yang diharapkan tidak mustahil.

“Dalam hidup ini kena yakin dengan diri sendiri, kalau tidak buang masa je saya datang ke Finland,” katanya.

Setakat semakan Malaysiakini pukul 10.34 pagi ini, saingan terdekat Harith ialah pelawak dari Filipina Allex Calleja dengan undian 1,940,331 manakala Harith memperolehi 1,950,396.

Pelawak lain Mino Van Nassau dari India mendapat undi 432,725, David Kilimnick Katerina Vrana (Greece) 748,092 dan (Israel) 98,168 undi,

Tuah Harith bakal diketahui hari ini sebelum sistem undian ditutup pada jam 3 petang waktu Malaysia.

Pertandingan itu dianjurkan oleh Laugh Factory, satu rangkaian kelab komedi di Amerika Syarikat yang telah melahirkan beberapa nama besar termasuk Chris Rock, Dave Chappelle dan Jay Leno.

Pemenang hadiah utama menerima AS$100,000 (RM416,000) manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing akan menerima hadiah RM41,000 dan RM20,000.

Seramai 20 peserta akhir juga akan menerima AS$1,000 (RM4,100) tiap seorang.

Harith sebelum ini bersaing dengan 20 pelawak pada peringkat separuh akhir sebelum dipilih ke pusingan akhir bersama empat lagi peserta.

Mengulas mengenai pencabar terdekatnya Calleja, Harith menganggap pelawak dari Filipina itu sebagai pesaing yang tidak harus dipandang ringan.

“Pelawak dari Filipina memang pencabar terdekat disebabkan populasi negara itu. Kalau 1 peratus je orang undi untuknya, dia dah berapa juta dah,” katanya.

Lihat Komen
ADS