Paling Popular
Terkini
story images
story images

Jalan terakhir melalui mahkamah untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetepikan sabitan tuduhan meliwat ke atasnya sudah berakhir hari ini apabila mahkamah persekutuan menolak rayuan bekas timbalan perdana menteri itu.

Dengan keputusan itu Anwar dijangka akan terus dipenjara sehingga pertengahan 2018.

Lima panel hakim diketuai Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin memutuskan tidak berlaku keputusan berat sebelah atau tidak adil dibuat panel sebelum ini.

Berkenaan isu reaksi segera Pejabat Perdana Menteri (PMO) berhubung keputusan mahkamah pada 10 Februari tahun lalu, Zulkifli berkata, walaupun kenyataan dibuat Anwar memberi gambaran beliau tidak mendapat perbicaraan yang adil, mahkamah tidak ada kuasa untuk menghalang pihak terbabit membuat kenyataan demikian.

"Sebagai cabang berlainan daripada kerajaan, kehakiman dan mahkamah beroperasi secara bebas dalam proses membuat keputusan tanpa campur tangan daripada mana-mana cabang kerajaan.

"Perlu ada pemisahan kuasa yang jelas antara badan kehakiman dan dua lagi cabang kerajaan untuk menegakkan kedaulatan undang-undang," katanya.

Memutuskan bahawa tiada merit pada dakwaan bahawa kenyataan tersebut dikeluarkan secara pramatang, hakim berpendapat ia terletak di bawah Peraturan 137 (yang membolehkan semakan).

"Tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa terdapat apa-apa komunikasi apa sekalipun antara PMO dan Mahkamah Persekutuan sama ada sebelum atau selepas keputusan kes itu," katanya dalam keputusan dibuat sebulat suara oleh semua hakim.

Hakim lain yang menganggotai panel mendengar permohonan Anwar itu ialah Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum, serta hakim mahkamah persekutuan, Tan Sri Hassan Lah, Tan Sri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Zaharah Ibrahim.

Semua hakim hadir di mahkamah ketika penghakiman dibacakan, kecuali Malanjum yang menghadiri pengebumian ibu saudaranya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS