Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ahmad: Komponen BN tak boleh bantah pindaan Akta 355

Komponen BN seperti MCA, MIC dan Gerakan tidak lagi boleh berkata tidak kepada rang undang-undang persendirian (RUU) yang dibawa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau lebih dikenali sebagai Akta 355.

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Ahmad Maslan berkata ini kerana rang undang-undang itu selepas ini akan dibentangkan sendiri oleh kerajaan selaku pemerintah negara.

"Sebelum ini kita dengar MCA tak suka dengan RUU 355, MIC menentang RUU355, Gerakan juga menentang RUU 355.

"Apabila kita tanya kenapa mereka menantang? Mereka jawab macam mana kami tak tentang, sebab Hadi Awang yang bawa.

"Jadi selepas ini Datuk Seri Jamil Khir yang bawa dan kita akan sokong beliau. MCA, MIC, Gerakan dan lain-lain tidak boleh kata tidak bila kerajaan bawa RUU 355," katanya.

Ahmad berkata demikian ketika berucap dalam Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Alumni Kelab-kelab Umno Luar Negara kali ke 15 di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur hari ini.

Awal Disember lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memaklumkan kerajaan persekutuan akan "mengambil alih" RUU yang dibawa Hadi bagi meminda Akta 355.

Najib bagaimanapun ketika berucap di Perhimpunan Agung Umno tidak menjelaskan bagaimana RUU itu bakal "diambil alih" oleh kerajaan.

Ikat perpaduan Umno, PAS

Ahmad yang juga timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan Industri berkata langkah tersebut adalah pengikat perpaduan antara Umno dan PAS.

"Ia (RUU) adalah satu pengikat antara perpaduan kita dengan PAS dan ia adalah satu perkara yang bila diangkat di Padang Masyar nanti kita tidak mahu ditanyakan apakah yang kita buat tentang perkembangan Islam di Malaysia, kita tak boleh nak jawab kalau kita tak sokong akta 355," tegas Ahmad.

Sehubungan itu, Ahmad menegaskan beliau selaku anggota parlimen Pontian akan menyokong akta itu seratus peratus.

Konsensus 14 negeri

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom pula berkata kerajaan tidak membawa RUU itu sejak awal kerana terikat dengan pelbagai kekangan dan prosedur.

Jamil berkata demikian menjawab persoalan hadirin mengapa kerajaan sejak dulu lagi tidak bertindak membawa RUU tersebut.

"Kenapa undang-undang persendirian? Kenapa kerajaan tak bawa terus? Kita ada kekangan-kekangan kita, kita ada SOP kita.

"Kalau kerajaan bawa kita kena konsenses 14 buah negeri dibawa kepada kabinet kemudian ke Majlis Kebangsaan (Hal ehwal) Islam seterusnya Majlis Raja-raja.

"Majlis Raja-raja tak boleh bawa kalau tak ada konsenses 14 buah negeri tapi undang-undang persendirian hanya satu negeri atau satu orang bangun bawa undang-undang persendirian," jelas Jamil.

 

Lihat Komen
ADS