Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wang ibadah haji perlu dari hasil yang halal – timbalan mufti

Dalam melaksanakan ibadah haji, antara asas utamanya adalah bersumberkan dari dana yang halal kerana sekiranya sumber tersebut tidak halal dikhuatiri amal ibadahnya tidak diterima Allah Taala.

Timbalan Mufti Kedah, Sheikh Marwazi Dziyauddin berkata, sekiranya wang dari dana 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) itu merupakan pelaburan yang patuh syariah, ibadah bagi orang yang melaksanakan haji akan diterima Allah Taala.

"Memang kita dituntut dan diwajibkan laksanakan ibadah yang gunakan harta yang halal dan bersih itu asasnya.

“Kalau dalam masalah 1MBD, saya tak pasti duit ini macam mana. Kalau duit ini duit pelaburan, kalau patuh syariah seperti syarikat pelaburan lain mudah-mudahan kita berharap kerja haji yang kita buat diterima Allah Taala.

“(Tapi) kalau sumber kewangan tak halal sudah tentu Allah Taala akan tolak. Jadi sumber halal atau tidak kita tak tahu, 1MDB sejauh mana halal dia atau tidak,” katanya kepada Malaysiakini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa orang yang melaksanakan ibadah haji menggunakan wang 1MBD tidak akan mendapat haji yang mabrur.

Bagaimanapun katanya, selaku jemputan haji berkenaan mereka harus berdoa supaya amalan diterima Allah Taala dan dalam masa yang sama melaksanakan syarat-syarat yang dituntut dalam ibadah itu.

“Dalam soal ibadah kita dituntut melakukan ibadah dengan syarat-syarat yang ditetapkan jadi terpulang pada Allah Taala nak terima atau tidak. Dari sisi yang lain kita kena tengok jugalah 1MDB itu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA), Abdul Ghani Shamsuddin pula berkata syarat melaksanakan haji adalah orang tersebut perlulah berkemampuan dari segi kewangan dan ia dari sumber yang halal.

Kerana, katanya, sesetengah ulama berpendapat sekiranya ia bersumberkan dari dana yang haram dikhuatiri amal ibadah itu tidak diterima Allah.

Beliau turut berkata kerajaan perlu mengutamakan keperluan rakyat yang miskin terlebih dahulu berbanding melengkapkan rukun Islam sesetengah golongan.

“Kita mungkin mengutamakan keperluan orang yang miskin supaya mereka tak mati kebuluran atau dalam miskin sampai sengsara hidup kerana itu lebih utama dari memungkinkan orang yang tak berupaya pergi haji kerana dari segi syarak siapa yang tak mampu tak wajib.

“Kesejahteraan rakyat lebih penting dari hanya mahu melengkapkan rukun Islam seseorang dan kalau nak lengkapkan haji orang kita mesti tahu sumber yang nak kita gunakan dari sumber halal.

Katanya lagi sekiranya imam yang yang ditawarkan untuk melaksanakan haji tidak mempunyai wang, golongan itu tidak wajib untuk melaksanakan rukun Islam yang kelima itu.

“Jadi tak perlu kita (kerajaan) bersusah payah menyelesaikan masalah sesuatu yang tidak diwajibkan oleh syarak tapi masalahnya, mereka guna ini sebagai macam meraih undi.

“Nawaitu (niat) sudah silap dan bukan sahaja nawaitu tapi pengagihan yang sah mestilah jujur dan berasaskan semua orang (dapat) dan bukan parti tertentu,” katanya.

Lihat Komen
ADS