Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
CNA: Jho Low guna nama proksi Eric Tan
Diterbitkan:  Jan 12, 2017 6:11 PM
Dikemaskini: 10:14 AM

Jutawan kelahiran Pulau Pinang Low Taek Jho, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, menggunakan nama proksi Eric Tan ketika membuka akaun bank dan entiti korporat.

Menurut Channel News Asia, ini didedahkan di Mahkamah Singapura semasa perbicaraan kes pengurus cawangan Falcon Private Bank, Jens Fred Sturzenegger.

Sturzenegger pada Rabu lalu dijatuhi hukuman penjara 28 minggu dan denda S$128,000 kerana gagal mematuhi undang-undang anti pengubahan wang haram dengan tidak memaklumkan kepada pihak berkuasa berhubung transaksi yang mencurigakan serta memberi maklumat palsu.

Menurut laporan itu, mahkamah diberitahu bahawa Sturzenegger diperkenalkan kepada Eric Tan oleh ketua pegawai eksekutif kumpulan perbankannya, Eduardo Leemann melalui e-mel pada Januari 2012.

Apabila Sturzenegger berjumpa Tan pada bulan berikutnya, lelaki berkenaan memperkenalkan semula dirinya sebagai Jho Low.

Laporan itu berkata, Low menjelaskan bahawa beliau menggunakan nama Eric Tan sekali-sekala untuk "tujuan keselamatan".

Memetik Timbalan Pendakwa Raya Jacky Leong, laporan itu berkata ketika itu Sturzenegger menyedari bahawa Eric Tan, yang berhubungan dengannya selama ini sebenarnya adalah Jho Low.

Menurut laporan itu, Sturzenegger juga mula menyedari bahawa Eric Tan bukan sekadar alias tetapi adalah nama oleh orang yang ‘sebenar’.

Ini kerana beliau sendiri melihat pasport sebenar pasport Tan dan butiran peribadinya sebagai sebahagian daripada proses membuka akuan.

Menurut CNA lagi, empat akaun telah dibuka di Falcon Private Bank di bawah pelbagai entiti korporat dengan nama Eric Tan disenaraikan sebagai benefisiari.

Dua daripada akaun berkenaan, di bawah nama Tanore dan Granton, menerima deposit AS$1.265 bilion pada Mac 2012.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS