Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wakil PKR dedah ‘bukti’ pembatalan tanah rizab Melayu

ADUN Semambu, Lee Chean Chung mendedahkan jawapan bertulis yang dikemukakan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang November lalu, sebagai bukti bahawa sebahagian daripada kawasan simpanan Melayu Tok Sira di Kuantan telah dibatalkan status rizabnya.

"Pembatalan sebahagian Kawasan Simpanan Melayu Tok Sira bagi hakmilik HS(D) 16495, Lot 51703, Mukim Bandar Kuantan, Daerah Kuantan telah dilakukan melalui Warta Kerajaan Pahang No 558 bertarikh 3 Ogos 2000," kata jawapan bertulis Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Menurut jawapan itu, pembatalan berkenaan dibuat atas permohonan sebuah syarikat swasta, selaras dengan status syarikat yang disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur, yang mana pemilikan sahamnya tidak terhad kepada orang Melayu sahaja.

Adnan juga dilaporkan berkata pembatalkan itu dilakukan kerana kawasan tersebut juga berpotensi dikomersilkan bagi mendapatkan nilai pasaran yang lebih tinggi berbanding statusnya sebagai kawasan simpanan Melayu.

"Walau bagaimanapun, pembatalan sebahagian Kawasan Simpanan Melayu Tok Sira ini tidak diganti kerana mengambil kira kawasan Rizab Melayu yang telah diwartakan melebihi daripada Kawasan Rizab Melayu asal," petik jawapan itu.

Bercakap pada sidang akhbar di Petaling Jaya hari ini, Lee membidas keputusan kerajaan negeri Pahang itu.

Katanya, merujuk kepada Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan, jika mana-mana tanah terhenti menjadi tanah simpanan Melayu, ini mesti digantikan dengan mana-mana tanah lain yang sama jenisnya dengan tanah itu dan yang luasnya tidak melebihi keluasan tanah berkenaan.

Justeru, menurut Lee, keputusan kerajaan negeri Pahang dalam perkara ini bertentangan dengan peruntukan tersebut.

Wakil rakyat PKR itu, sebelum ini menimbulkan kebimbangan berhubung sebidang tanah yang didakwanya dijual kepada Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Hasan Arifin pada harga yang jauh di bawah nilai pasaran.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS