Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
BEBAS anjur demo balas tentang himpunan Akta 355 PAS
Diterbitkan:  Jan 18, 2017 1:46 PM
Dikemaskini: 5:53 AM

Kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai BEBAS mengumumkan akan mengadakan perhimpunan balas pada hari yang sama dengan perhimpunan Akta 355 PAS pada 18 Februari ini.

Pengumuman itu dibuat oleh aktivis Azrul Mohd Khalib (bawah, kanan), Azira Aziz dan R Suresh dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut mereka, perhimpunan tersebut adalah untuk menunjukkan bantahan keras terhadap rang undang-undang persendirian Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau dikenali sebagai Akta 355.

“Himpunan ini, yang dinamakan ‘Rakyat Tolak Usul Hadi’ akan berlangsung dari 3-5 petang pada 18 Februari.

Perhimpunan Akta 355 bertujuan mendapatkan sokongan rakyat terhadap pindaan itu yang akan membolehkan Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman yang lebih berat dengan meningkatkan had hukuman penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam sebatan rotan kepada penjara sehingga 30 tahun, denda RM100,000 dan 100 kali sebatan.

Contohi negara gagal

Perhimpunan balas anjuran BEBAS ini dijadualkan berlangsung di Padang Merbok, kira-kira 1km daripada Dataran Merdeka, tempat perhimpunan Akta 355 PAS.

“Rakyat Malaysia, tidak kira kaum atau agama, dijemput untuk menyertai himpunan ini bagi membantah usul Hadi, yang merupakan pindaan rang undang-undang yang membuka pintu kepada bertapaknya hudud di negara ini.

“Dakwaan bahawa usul Hadi ini hanya mahu memartabatkan perundangan syariah di Malaysia bersifat licik dan tidak tulus,” kata mereka.

BEBAS berkata tidak ada bukti atau kajian yang diberikan untuk menunjukkan bahawa hukuman lebih berat di negara-negara Islam lain berjaya mengurangkan kesalahan syariah atau membendung pesalah daripada mengulangi kesalahan mereka.

“Di negara-negara yang seringkali dirujuk oleh PAS sebagai contoh terbaik perlaksanaan hukum hudud, selalunya wujud bilangan penganggur yang banyak, populasi kemiskinan tegar yang tinggi, kanak-kanak perempuan yang tidak diberikan pendidikan, penindasan, konflik bersenjata serta sikap tidak endah kepada hak asasi manusia.

“Negara-negara ini dianggap 'negara gagal' dan tidak berdemokrasi. Adakah negara-negara seperti ini yang kita mahu melihat sebagai contoh?” soal mereka.

Hak bukan Islam

BEBAS juga berkata usul Hadi itu dan pendapatnya mestilah terbuka kepada penelitian dan pendebatan dari semua pihak, termasuklah golongan beragama Islam dan juga bukan Muslim.

Ini kerana, semua rakyat dijamin mempunyai kedudukan dan taraf yang sama dari segi undang-undang.

“Dana yang digunakan untuk mengurus dan menguatkuasakan sistem perundangan syariah di Malaysia, berasal daripada pembayar cukai Muslim dan bukan Muslim.

“Setiap rakyat, tidak kira kaum atau agama, berhak bersuara dan menyuarakan pendapat mereka mengenai isu-isu dan undang-undang yang mampu untuk menganggu gugat secara drastik struktur sekular negara dan mengubah cara hidup kita.

“Usul Hadi adalah salah satu daripadanya,” kata mereka.

BEBAS juga mengingatkan semua ahli parlimen bahawa mereka mewakili pengundi berbilang kaum dan agama. Justeru, keputusan mereka mestilah mewakili pandangan rakyat dan ini termasuklah pendirian golongan bukan Muslim yang membantah usul Hadi.

“Kami menolak penterjemahan Hadi yang bersifat fundamentalis terhadap undang-undang syariah.

“Kami menggesa ahli-ahli Parlimen, tidak kira kepercayaan atau agama, agar berani untuk tidak menyokong usul tersebut.

“Kita bersama mestilah meletakkan pendirian yang jelas dan tegas terhadap usul Hadi yang mampu mengubah watak negara ini yang berlandaskan kesederhanaan, menjadi negara yang berpaksikan kepolisan moral yang melampau, taksub dan tidak toleransi,’ kata mereka lagi.

Lihat Komen
ADS