Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Mahkamah Rendah Syariah Klang hari ini memutuskan Anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad bersalah kerana mengajar tanpa tauliah di sebuah surau di Klang pada 2011.

Dalam penghakiman hari ini Hakim Syarie, Mohd Hairuddin Ab Rahim menjatuhkan hukuman denda RM2,900 atau penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

"Mahkamah berpuas hati dengan segala hujah yang diberi dan telah mempertimbangkan alasan kedua-dua pihak.

"Mahkamah memutuskan hukuman RM2,900 atau denda tiga bulan jika gagal membayar denda terbabit," kata Mohd Hairuddin.

Khalid sebelum ini didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Klang atas kesalahan mengajar tanpa tauliah di Surau Taman Semanta, Klang, pada 16 Ogos 2011, mengikut Seksyen 119 (1), Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam Selangor.

Mahkamah Syariah memerintahkan Khalid membela diri selepas mendapati pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie.

Buat rayuan

Sementara itu Khalid yang juga Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata, beliau akan membayar denda itu serta merayu terhadap hukuman tersebut di Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam Jumaat ini.

"Pada hari ini kita akan membayar dulu denda RM2,900, selepas itu kita akan buat rayuan ke atas keputusan yang telah dibuat," katanya ketika ditemui pemberita.

Ditanya mengenai keputusan itu mungkin menyebabkan beliau hilang kelayakan untuk bertanding pilihan raya, Khalid berkata keputusan tersebut bergantung kepada rayuannya nanti.

"Mungkin (hilang kelayakan MP) tapi bila kita dah buat rayuan maka keputusan berhubung hilang kedudukan saya sebagai anggota parlimen akan ditangguh sehingga keputusan rayuan itu sendiri," katanya.

Dalam pada itu, Khalid mempertahankan tindakannya mengajar di surau berkenaan kerana mahu menceritakan pengalamannya ketika membantu rakyat Palestin di Gaza.

"Bagi saya ia merupakan satu tanggungjawab dan kewajipan bagi diri saya untuk menceritakan pengalaman saya kerana itulah apa yang telah dipesankan kepada diri saya oleh Presiden Gaza iaitu Ismail Haniyeh," ujar Khalid.

Bagaimanapun katanya, keputusan mahkamah seolah-olah menunjukkan beliau melakukan perbuatan yang memudaratkan rakyat, masyarakat dan negara.

Terdahulu Khalid hadir dengan hanya ditemani peguamnya Dr Zulqarnain Lukman sekitar jam 9.15 pagi.

 

 

Lihat Komen
ADS