Paling Popular
Terkini

PAS menyifatkan tindakan penasihat DAP Lim Kit Siang menghulurkan salam pendamaian sekadar ‘drama opera murahan’ dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan berkata parti Islam itu tidak akan sesekali terpedaya dengan helah tersebut kerana sudah dua kali diperlakukan sedemikian rupa.

“Sampaikan salam perjuangan kami buat YB Lim Kit Siang bahawa prinsip dan dasar perjuangan PAS bukan kostum untuk diperagakan di pentas opera DAP.

“PAS tidak akan teruja dengan wayang opera bernilai murah yang sedang dipersembahkan oleh DAP hari ini. Cukuplah pengalaman dua kali diperlakukan DAP sedemikian rupa.

“PAS telah siap berjuang mencapai cita-cita perjuangan tanpa DAP yang dikenali hari ini. PAS telah merangka roadmap menuju gerbang jaya PRU 14 tanpa DAP yang telah mengkhianati PAS,” katanya kepada Malaysiakini.

Katanya PAS diperdayakan oleh DAP ketika bersama dalam Barisan Alternatif dan juga dalam Pakatan Rakyat.

Ahad lalu pemimpin Veteran DAP Lim Kit Siang menawarkan salam perdamaian kepada PAS sekiranya Presiden parti Islam itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersedia memberi komitmen untuk menyelamatkan Malaysia daripada menjadi sebuah negara gagal.

Namun salam itu disambut dingin oleh Hadi apabila Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, walau pun pelawaan Lim itu meletakkan DAP seolah-olah cukup terbuka sehingga bersedia menjilat ludah sendiri, namun PAS tetap tidak boleh menerimanya.

Mengulas lanjut, Nasrudin berkata PAS punya harga diri dan maruah yang tidak mungkin sesiapa lagi boleh memperdaya dan memperkotak-katikkannya.

Katanya, PAS tidak pernah berganjak dengan perjuangan menegakkan syariat Islam untuk membina negara yang bebas penyelewengan, korupsi, penindasan dan penyalahgunaan kuasa.

“Malah kerana mempertahankan dasar dan prinsip perjuangan inilah DAP lari meninggalkan PAS, DAP memutuskan hubungan dengan Presiden PAS, DAP menyerang PAS tanpa henti dengan semangat anti Islam yang tebal dan melampau,” katanya.

Sementara itu Timbalan Mursyidul Amnya, Datuk Ahmad Yakob pula menyifatkan tindakan DAP itu hanyalah agenda melemahkan PAS.

Tegasnya, DAP telah berulang kali mengkhianati PAS dan kali ini, mereka tidak akan terjerat lagi dengan permainan parti itu lagi lapor akhbar milik Umno, Utusan Malaysia.

“Saya rasa DAP ini ada strategi tersendiri, dia (DAP) hendak melemahkan PAS. Dia tidak ada cara lain, dia ajak kita (bekerjasama) dengan harapan kalau kita sanggup, orang akan menghentam PAS.

“Jadi, PAS memang tidak akan bekerjasama dengan DAP dan keputusan kita tidak pernah berubah,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Lihat Komen
ADS