Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jangan sebar maklumat palsu, wahai rakan media
Diterbitkan:  Jan 26, 2017 6:07 AM
Dikemaskini: 8:44 AM

Amaran kerajaan untuk tidak menyebarkan berita palsu akhirnya tidak diendahkan media arus perdana sendiri.

Ini boleh dilihat bagaimana mereka melaporkan ulasan di Malaysiakini semalam, yang kebetulan turut disiarkan sebuah lagi penerbitan, Malay Mail Online.

Artikel bertajuk “Apa salahnya DAP jadi TPM?” itu jelas menyatakan Zulhazmi Shariff, yang merupakan anggota jawatankuasa Biro Guaman DAP Kedah, sebagai penulisnya.

Membangkitkan isu perlembagaan, Zuhazmi yang juga seorang peguam berhujah, perkara itu bukan suatu kesalahan malah tidak dihalang oleh Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan Persekutuan, katanya, tidak pernah mensyaratkan bahawa seorang perdana menteri hendaklah seorang Melayu-Islam.

Zulhazmi menulis artikel itu sebagai reaksi terhadap cabaran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya pemimpin DAP Lim Kit Siang “mengakui impiannya” untuk menjadi timbalan perdana menteri.

Bagaimanapun, Utusan Malaysia, Berita Harian, New Straits Times (NST) dan TV3 memilih melaporkan kononnya Malaysiakini menyokong atau mencadangkan perkara itu.

Muka depan Utusan, akhbar Umno, jelas terpampang “Malaysiakini sokong Kit Siang jadi TPM”.

NST pula di halaman 10 menyiarkan tulisan bertajuk “Malaysiakini: Lim eligible to be DPM” (Malaysiakini: Lim Layak jadi TPM).

Malah, Malaysiakini sebagai sebuah portal berita bebas yang melaporkan berita kedua-dua pihak, dituduh pula sebagai “pro-DAP”, seperti tidak cukup dengan gelaran kononnya Malaysiakini “propembangkang” sebelum ini.

Perenggan pertamanya menyebut: “Sebuah portal berita pro-DAP semalam mengisytiharkan bahawa pemimpin parti itu Lim Kit Siang layak menjadi timbalan perdana menteri”.

Berita Harian pula menyebut “Portal Berita Malaysiakini mencadangkan ketua ahli parlimen DAP Lim Kit Siang sebagai calon timbalan perdana menteri atau perdana menteri.”

Bagaimanapun, lebih beretika berbanding yang lain, Berita Harian di perenggan seterusnya menyebut artikel itu ditulis oleh seorang penyokong DAP.

Akhbar lain pula mungkin tidak nampak perkataan “ULASAN”, dengan huruf besar dan berwarna biru di bahagian ringkasan berita (halaman depan) dan di permulaan artikel – yang sudah pasti bermaksud ia pandangan penulis itu.

Atau, artikel itu tidak dibaca sampai habis untuk ke barisan terakhir yang menyebut “ZULHAZMI SHARIFF adalah Ahli Jawatankuasa Biro Guaman DAP Kedah”.

Bagaimanapun, diharapkan langkah ini bukanlah usaha untuk memburukkan-burukkan Malaysiakini dengan penyebaran berita palsu.

Malah, Malaysiakini digambarkan sebagai satu-satunya media yang menyiarkan pandangan itu. Malay Mail Online turut menyiarkan artikel sama, yang kebetulan tajuknya juga sama.

Apa pun kemungkinannya, Malaysiakini ingin mengingatkan berkaitan bahaya penyebaran maklumat palsu dan keperluan berpegang kepada etika kewartawanan, yang ditegaskan menteri-menteri kita berulang kali.

Malaysiakini sedang mempertimbangkan akan memasukkan penafian dalam artikel dimuatkan dalam portal ini di masa depan supaya perkara ini tidak berulang.

Mungkin berita yang memuatkan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak patut terdapat penafian sebegini:

“Datuk Seri Najib Razak ialah perdana menteri Malaysia dan bukan kakitangan Malaysiakini. Pandangan ini tidak menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini”.

Untuk rekod juga, Malaysiakini bukan pro-DAP, propembangkang, pro-Amerika, pro-Yahudi, pro-Cina, pro-Soros, pro-liberal, pro-Syiah dan macam-macam “pro” lagi.

Kami cuma pro laporan yang objektif dan profesional.


NOTA PENGARANG: Ya, artikel ini melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini!

Lihat Komen
ADS