Berita Malaysiakini

MARA sah gantung Annuar

Harith Najmuddin  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Seorang pegawai kanan Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengesahkan pengerusi agensi itu, Tan Sri Annuar Musa, digantung jawatannya berkuat kuasa serta-merta.

Ahli Majlis MARA, Nazir Hussin Akthar, berkata mereka berhak berbuat demikian dan hanya perlu memaklumkannya kepada menteri yang bertanggungjawab ke atas agensi terbabit.

"(Mengikut undang-undang) kami hanya dikehendaki memberitahu menteri," katanya.

Terdahulu, berlaku kekeliruan mengenai status Annuar apabila seorang lagi ahli Majlis MARA, Datuk Dr Yusof Yacob memberitahu media, penggantungan ketua penerangan Umno itu adalah cadangan daripada mereka dan menyerahkan keputusan akhir kepada menteri.

"Kini terserah kepada menteri, kami sudah memberi cadangan," katanya selepas bertemu Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kuala Lumpur hari ini.

Kementerian itu dipertanggungjawabkan mengelola MARA.

Sebelum itu Ismail Sabri berkata, kuasa melantik atau menggantikan pengerusi MARA terletak di bawah kementeriannya selepas dipersetujui perdana menteri.

Tak terlibat mesyuarat

Dalam kenyataan kemudian, beliau menjelaskan, Majlis MARA mempunyai kuasa menggantung jawatan seseorang pengerusi.

Sementara itu Ismail Sabri berkata, beliau tidak terlibat dalam mesyuarat pegawai atasan MARA pagi tadi yang kemudian membuat cadangan supaya Annuar digantung tugas.

Ditemui media di Kuala Lumpur hari ini, Ismail Sabri berkata, beliau memang tidak tahu menahu mengenai keputusan dicapai Ahli Majlis MARA itu namun dimaklumkan mengenainya kemudian.

"Saya tidak terlibat dalam mesyuarat tadi.

"Tadi (saya tidak tahu), tapi sekarang saya sudah tahu (pergantungannya)," katanya kepada media.

Bagaimanapun, katanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak belum dimaklumkan mengenainya.

Untuk makluman, MARA terletak di bawah kementerian Ismail Sabri.

Pagi tadi Ahli Majlis MARA mengadakan mesyuarat tergempar di ibu negara dan kemudian memutuskan untuk menggantung jawatan Annuar.

Annuar yang juga ketua penerangan Umno kini berada di New Zealand atas urusan rasmi bagi pihak MARA.

Ismail Sabri kemudian memberitahu, beliau tidak dimaklumkan mengenai mesyuarat tergempar itu.

Annuar kata terima

Beliau juga berpendapat kuasa melantik atau menggantung jawatan pengerusi MARA terletak pada bidang kuasa menteri selepas ia mendapat persetujuan perdana menteri.

Kata Ismail, kemungkinan ketetapan dibuat MARA itu hanya cadangan.

Mengulas ketetapan itu Annuar berkata beliau tidak dimaklumkan pihak terbabit bermesyuarat hari ini walaupun ada mesyuarat dijadualkan berlangsung pada 14 Februari nanti.

Namun, Annuar yang kini anggota parlimen Ketereh berkata, beliau menerima keputusan berkenaan dengan berlapang dada dan bertanggungjawab.

Sementara itu Ahli Majlis MARA yang dilaporkan mempengerusikan mesyuarat tergempar tadi, Datuk Dr Yusof Yacob, berkata keputusan mereka sudah diserahkan kepada Ismail Sabri.

Mengenai ketetapan diambil mereka, Dr Yusof berkata, Ismail Sabri memang tidak dimaklumkan sebelum itu.

"Hasil perbincangannya dia (Ismail Sabri) tidak tahu, sebab tu dia datang sini (Ibu Pejabat MARA), untuk menerima keputusan," katanya.

Kini, kata Dr Yusof, terpulang kepada menteri terbabit untuk membuat keputusan muktamad.

"Kami sudah bagi cadangan. Sekarang (terserah kepada) menteri. (Annuar juga) sudah keluarkan kenyataan, dan beliau menerima penggantungan ini," katanya.

[Baca berita asal]