Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Datuk mangsa lemas nak saman pelombong bauksit

Datuk kepada Nureen Ain Juwita Mohd Sharif, 10, yang mati lemas di kolam bekas lombong bauksit dekat Kuantan petang semalam berhasrat mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menjalankan aktiviti perlombongan di situ.

Aidil Omar, 78, berkata pihak terbabit sepatutnya mementingkan aspek keselamatan dengan mengambil langkah menimbus semula kawasan lombong yang dikorek supaya tidak terbiar begitu sahaja sehingga boleh meragut nyawa orang lain.

"Saya hendak saman pihak (jalankan perlombongan) bauksit ini... saya sangat sedih sebab dia cucu yang sangat rapat dengan saya, boleh dikatakan setiap hari Nureen Ain akan datang bermain di rumah saya.

"Pihak berkaitan kena pandang seriuslah benda ini sebab mereka korek bauksit di kawasan yang dekat dengan rumah penduduk, selepas ini saya akan minta bantuan nasihat cara yang perlu saya buat untuk teruskan saman ini," katanya.

Beliau berkata demikain kepada pemberita ketika ditemui selepas urusan pengebumian jenazah Nureen Ain di Tanah Perkuburan Islam Sungai Karang Darat, dekat Kuantan, hari ini.

Aidil yang juga pesara tentera itu berkata tindakan itu bagi memberikan pengajaran kepada mereka yang mengaut keuntungan dengan cara mudah, namun pada masa sama, membahayakan keselamatan penduduk.

Beliau dalam masa yang sama turut merayu kepada pihak kerajaan negeri supaya mengambil tindakan segera menimbus semula kolam bekas lombong bauksit yang terbiar di sekitar daerah ini dan memagar kawasan berkenaan untuk menghalang kanak-kanak bermain di situ.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, Nureen Ain bersama dua rakannya yang merupakan adik-beradik Salsabila Zuhairi, 12, dan Mahathir Mohamad, 7, ditemukan mati lemas di kolam bekas lombong bauksit di Taman Sungai Karang Jaya di Beserah.

- Bernama

Lihat Komen
ADS