Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri sahkan arah henti sita berus bulu babi

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hamzah Zainuddin hari ini mengesahkan beliau telah mengarahkan bahagian penguatkuasa kementerian itu menghentikan serbuan ke atas kedai-kedai yang menjual berus yang diperbuat daripada bulu babi.

Hamzah berkata beliau telah memaklumkan Pengarah Bahagian Penguatkuasa Kementerian itu, Roslan Mahayudin mengenai keputusan tersebut.

Ditanya mengenai sebab-sebab mengapa serbuan itu dihentikan, Hamzah berkata ia mempunyai kaitan dengan keharmonian kaum dan agama di Malaysia.

"Kita semua mesti berusaha ke arah hidup dalam masyarakat yang harmoni. Kita jangan bermain dengan api," katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata isu itu telah diperbesar-besarkan oleh media dan di internet.

Walaupun bersetuju bahawa peniaga mempunyai tanggungjawab untuk memaklumkan kepada pengguna tentang produk tertentu, Hamzah menegaskan bahawa pengguna juga perlu bertanya jika mereka tidak pasti tentang sesuatu produk.

"Jangan jadikan isu yang boleh pecah belahkan kita," katanya.

Beliau juga berkata, ketika ini sudah ada undang-undang berkaitan isu berkenaan dan kerana itu ada kedai yang meletakkan label memaklumkan pengguna mengenai produk mereka yang diperbuat daripada kulit babi.

Bagaimanapun Hamzah mengakui, ada sesetengah peniaga tidak menyedari peruntukan undang-undang berkenaan.

"Jadi kerajaan beri nasihat. Sebab itu saya minta pegawai penguat kuasa bertemu dan mendidik mereka.

"Peniaga yang tidak pasti mengenai produk jualan mereka perlu bertanya kepada pembekal dan masih tidak kepastian, cuma maklumkan kepada pengguna produk berkenaan tidak pasti diperbuat darpada bulu binatang atau tidak," katanya.

Hamzah juga menegaskan beliau tidak mahu menjadikan isu berkenaan bersifat politik atau memburukkan lagi keadaan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS