Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BN Kelantan tunggu tiup wisel saja
Diterbitkan:  Feb 27, 2017 2:12 PM
Dikemaskini: 6:24 AM

Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, meramalkan BN mampu menguasai Kelantan melalui pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Menurut anggota parlimen Gua Musang itu, ada beberapa faktor mengapa beliau berani berkata demikian.

Satu daripada faktor dipetik Tengku Razaleigh ialah perpecahan dialami PAS ketika ini serta kegagalan kerajaan negeri yang dikuasai parti berkenaan melakukan perubahan.

“Saya rasa BN atau Umno Kelantan tunggu masa saja. Apabila kita tiup wisel, kita boleh berge­rak dan saya rasa dengan kerjasama banyak pihak, kita boleh tumbangkan kerajaan negeri sedia ada ini," katanya dipetik Utusan Online.

Kelantan berada di bawah pentadbiran PAS sejak PRU kelapan yang diadakan pada 1990. Ketika itu PAS mengadakan kerjasama dengan Tengku Razaleigh yang mengetuai Parti Semangat 46 dan membentuk pakatan Angkatan Perpaduan Ummah.

Parti itu adalah serpihan kepada Umno yang mengalami perpecahan sebelumnya.

Tengku Razaleigh bagaimanapun kembali kepada Umno kira-kira enam tahun kemudian, namun PAS kekal berpengaruh di Kelantan.

Bagaimanapun dengan kematian tokoh berpengaruh PAS, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat, parti itu mengalami perubahan pendekatan dalam politik.

PAS Kelantan juga tiada pemimpin yang dapat menyaingi kepimpinan Nik Aziz sehingga kini.

Keadaan itu antara lain menyebabkan berlaku perpecahan pada PAS dan menghasilkan Parti Amanah Negara (AMANAH) yang ditubuhkan oleh bekas pimpinan parti berkenaan.

Kena ambil kesempatan

Pada 22 Februari lalu bekas naib presiden PAS, Salahuddin Ayub, menjangkakan akan berlaku perpecahan dalam PAS sekali lagi kerana parti itu dilihat menjalin hubungan baik dengan Umno ketika ini.

Salahuddin yang kini menjadi timbalan presiden AMANAH malah berkata perpecahan itu sebenarnya sudah mula berlaku.

"Satu kekuatan yang saya pelajari dengan PAS (dahulu), sekiranya pemimpin itu dilihat benar-benar rapat dengan erti kata lain tidak menganggap Umno sebagai musuh mereka, PAS akan berpecah lagi," katanya.

PRU ke-14 mesti diadakan selewat-lewatnya suku ketiga tahun depan.

Kata Tengku Razaleigh, BN kini mampu menamatkan menamatkan PAS di Kelantan sejak 27 tahun lalu.

“Kalau rakyat sudah jemu,dah bosan dengan pemerintahan yang tidak memberi faedah kepada mereka, kenapa tidak kita ambil inisiatif bantu rakyat menukar kerajaan,” katanya di Gua Musang.

Tengku Razaleigh menambah, PAS ketika ini jelas sedang berpecah serta mengalami masalah dalaman.

Katanya, ia terbukti dengan kewujudan rasa tidak senang sesetengah ahli parti itu dengan apa dibawa pemimpin mereka.

“Itu yang dapat disimpulkan dan Umno sepatutnya ambil ke­sempatan.

"Kita parti politik mesti ambil kesempatan apatah lagi ini adalah kehendak rakyat,” katanya.

Lihat Komen
ADS