Dua bekas pegawai Felda dituduh pecah amanah RM47.6j

   

Bekas Pengarah Besar Felda, Datuk Faizoull Ahmad dan bekas Timbalan Pengarah Besar Muhammad Sufi Mahbub didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dakwaan pecah amanah wang agensi itu berjumlah RM47.6 juta dan bersubahat, tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka selesai dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Allaudeen Ismail.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Muhammad Sufi didakwa sebagai Timbalan Pengarah Besar Sumber Strategik Felda telah melakukan pecah amanah terhadap dana organisasi itu dengan curangnya melupus dan meluluskan pembayaran berjumlah RM47, 634, 500 tanpa kelulusan Lembaga Pengarah atau Jawatankuasa Tender Felda.

Sementara itu, Faizoull pula didakwa bersubahat dengan Muhammad Sufi untuk melakukan perbuatan tersebut.

Semua pertuduhan tersebut didakwa dilakukan di Bangunan Wisma Felda Jalan Perumahan Gurney, di Kuala Lumpur antara 13 Januari dan 23 Julai 2014.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat dan boleh didenda.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM1 juta bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib manakala Mohd Irwan Mohd Mubarak dan Azad Bashir masing-masing bertindak sebagai peguam Muhammad Sufi dan Faizoull.

 

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda