Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Disaran tutup mulut, MP bidas 'pasukan tragik' BN
Diterbitkan:  Mar 1, 2017 4:12 PM
Dikemaskini: 8:39 AM

Anggota Parlimen Kuala Terengganu membidas Pasukan Komunikasi Strategik BN yang menyarankan beliau 'tutup mulut' berikutan kritikan terhadap kenyataan perdana menteri yang membandingkan harga minyak di Malaysia dan Arab Saudi.

Menegaskan perbandingan tersebut tidak munasabah, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, Arab Saudi jauh lebih kaya berbanding Malaysia yang masih merupakan negara membangun.

"Adakah Pasukan Strategik BN mengesyorkan kerajaan menutup mulut pembangkang dan mengubah sistem negara ke arah kuasa mutlak yang dipelajari daripada Arab Saudi.

"Kalau begitu "Pasukan Strategik" ini patut dipanggil "Pasukan Tragik" kerana tidak faham konsep demokrasi berparlimen tapi mereka lebih mendekati konsep kuku besi yang ingin tutup mulut lawan," kata Raja Kamarul menerusi kenyataan media.

Semalam Pasukan Komunikasi Strategik BN berkata Raja Kamarul dan Naib Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub wajar mengucapkan tahniah kepada kerajaan kerana berjaya meraih pelaburan besar bagi menjadikan Malaysia sebuah hub minyak dan gas di rantau ini.

Ini berikutan kritikan mereka terhadap kenyataan Datuk Seri Najib Razak bahawa harga minyak di Arab Saudi naik 50 peratus tetapi di Malaysia akan menjadi riuh rendah jika bahan api itu naik 10 sen atau 20 sen.

Menurut Raja Kamarul, tindakan membandingkan harga minyak di kedua-dua negara adalah tidak wajar memandangkan Arab Saudi jauh lebih kaya berbanding Malaysia yang merupakan negara membangun.

Malah katanya, Malaysia juga masih tidak melaksanakan sepenuhnya gaji minima.

"Kebanyakan rakyat Saudi boleh memiliki kereta enjin kapasiti besar melebihi 4,000 c.c. kerana mereka kaya.

"Kedua, taraf hidup dan kemudahan dinikmati rakyat dua negara ini juga jauh berbeza untuk dibuat perbandingan," katanya.

Lihat Komen
ADS