'Terima kasihlah Hadi'

Alyaa Alhadjri        

Kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkaitan kenyataannya mengenai niat PAS menguasai lima negeri di semenanjung 'dihargai' Setiausaha Agung PKR hari ini.

Menurut Saifuddin Nasution Ismail, kenyataan Abdul Hadi itu dapat memberikan gambaran sebenar bagaimana PAS meletakkan kedudukannya pada pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun beliau membayangkan kekeliruan mengenai kenyataan Abdul Hadi itu.

"Tapi kalau benar itu yang diucapkan (Abdul Hadi), saya ucapkan terima kasih kerana itu memberikan gambaran atau menunjukkan hasrat sebenar bagaimana PAS memposisikan dirinya dalam pilihan raya akan datang," katanya kepada media di Shah Alam hari ini.

Semalam Abdul Hadi menafikan beliau ada membuat kenyataan mengenai hasrat PAS memimpin lima negeri - Terengganu, Kelantan, Kedah, Perak dan Selangor - manakala selebihnya terserah kepada Umno.

“Saya tak pernah buat kenyataan macam tu. Kita tak nampak (tak boleh tahu) masa depan. Sepuluh negeri ke, tiga negeri ke, satu negeri ke, itu keputusan PRU," katanya di Cyberjaya.

Kenyataan itu sekaligus bercanggah dengan rakaman ucapan anggota parlimen Marang itu yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Rakaman sepanjang kurang dari dua minit itu menunjukkan Abdul Hadi berceramah pada tarikh yang tidak dapat disahkan.

Dalam rakaman video yang disunting itu Abdul Hadi berkata: "Sebab itu bagi Terengganu, bagi Kelantan, bagi Kedah, bagi Perak, bagi Selangor - biar PAS memimpin. Negeri lain, Umno nak lagi, biar ke dia.

"Kalau boleh (PAS) nak (sapu) habis, tapi (kita) kena ukur dengan saiz kita sendiri. Kita memerluan satu kerjasama untuk mengekalkan kuasa politik islam.

"Ini sangat penting. Kita kena sedar. Ini budaya politk matang dan sejahtera yang kita lakukan hari ini. Orang Umno pun selesa. Mereka pun tak mahu berbalah lama, tak mahu keras, (nak) lembut."

Untuk rekod, daripada lima negeri yang disebutkan Abdul Hadi itu, satu daripadanya kini dipimpin oleh PKR iaitu Selangor, satu memang dikuasai PAS (Kelantan) manakala selebihnya ditadbir oleh BN.

Perak pernah dikuasai Pakatan Rakyat selepas pilihan raya umum ke-12 namun perkembangan politik selepas itu menyaksikan BN kembali berkuasa.

Semasa Pakatan Rakyat menguasai Perak, seorang pemimpin PAS negeri, Datuk Seri Nizar Jamaluddin, dilantik menjadi menteri besar walaupun parti itu hanya memiliki kerusi lebih kecil berbanding PKR dan DAP.

Bagaimanapun, Nizar tersingkir bersama sebahagian pimpinan sederhana dalam PAS pada muktamar 2015. Nizar kini menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH).

Sementara itu, Anggota Parlimen Kuala Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, berkata kenyataan Abdul Hadi itu menunjukkan ada kemungkinan tinggi bari PAS mengadakan kerjasama dengan Umno.

Kata pemimpin AMANAH itu, kepimpinan PAS mesti menjelaskan keadaan sebenar terutama kepada anggota parti berkenaan.

"Dengan mengambil kira kedudukan negeri yang dikatakan dipersetujui itu, lima negeri (yang disasarkan PAS) adalah banyak, separuh daripada Malaysia," katanya.

Walaupun kedua-dua parti menafikan mereka bekerjasama, kata Raja Kamarul Bahrin, keadaan semasa politik negara menunjukkan sebaliknya.

"Saya rasa ini tidak sihat, da sesuatu macam rang undang-undang meminda Akta 355 perlukan pembabitkan semua anggota PAS," katanya.

[Baca berita penuh]

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In