Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKR janji tiada lagi 'lain-lain' di Sabah, S'wak
Diterbitkan:  Mar 21, 2017 12:04 PM
Dikemaskini: 4:11 AM

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berjanji, sekiranya pakatan pembangkang diberi mandat untuk membentuk kerajaan, penduduk Sabah dan Sarawak tidak lagi akan dikategorikan sebagai 'lain-lain'.

Beliau yang juga naib presiden merangkap pengarah pilihan raya bersama PKR dalam kenyataan berkata, semua pihak sepatutnya berbangga dengan identiti yang kaya dengan kepelbagaian.

"Namun, kerajaan Barisan Nasional (BN) masih gagal menangani hal semudah ini biarpun setelah melewati setengah abad.

"Ingin saya tegaskan, setelah PKR Sabah dan Sarawak dipimpin oleh anak tempatan, saya percaya rakyat Sabah dan Sarawak akan memilih wakil di kalangan mereka sendiri.

"Bukannya penyambung lidah, pak angguk dan pak turut pemimpin pusat yang berpengkalan di Semenanjung," katanya.

Sambil menegaskan Sabah dan Sarawak adalah dua negeri penting buat PKR, Nurul Izzah menggariskan lima tindakan segera jika partinya dapat menumbangkan kerajaan sedia ada.

"Lima tindakan tersebut ialah hak Sabah dan Sarawak akan dikembalikan, lantikan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) peringkat pusat dari Sabah, Sarawak akan dipertingkat serta mewujudkan kerajaan negeri yang berkompetensi, telus, berakauntabiliti dan berintegriti.

"Pada masa yang sama, PKR juga berjanji untuk menjana kemampanan pertumbuhan ekonomi, keseimbangan, keterangkuman dan kelestarian alam sekitar serta pengiktirafan rasmi kepelbagaian etnik Sabah dan Sarawak, bukan ‘lain-lain’," jelas beliau lagi.

Meskipun mempunyai visi dan misi yang sama dengan pusat, pimpinan PKR Sabah dan Sarawak komited dalam memperjuangkan isu-isu tempatan yang mencerminkan denyut nadi dan naluri rakyat Sabah dan Sarawak, katanya.

"Sebagai rakan kongsi yang sentiasa komited dalam pakatan pembangkang , PKR akan terus mempertahankan hak dan kepentingan Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia.

"Namun, pada masa yang sama, kerajaan Persekutuan juga perlu lebih proaktif dan agresif memperkasa anak-anak negeri agar mereka dapat sama menikmati kemakmuran dan kesejahteraan hidup dalam sebuah Persekutuan yang berjaya.

"Justeru, PKR berikrar menambah peruntukan pelantikan ahli lembaga pengarah, pengurusan kanan dan biasiswa di GLC Persekutuan khusus untuk anak-anak Sabah dan Sarawak," katanya.

Ia juga melibatkan urusan pentadbiran tanah termasuk tanah milik persendirian, ujarnya.

"Saya yakin majoriti penduduk Sabah dan Sarawak menyokong sekiranya proses dan prosedur terutama bagi pembalakan dan penerokaan ladang-ladang baharu diperketatkan. Sudah-sudahlah hutan tropika warisan berabad lamanya ditebang untuk membuka ladang-ladang.

"Tidakkah kita malu berbangga dengan jolokan syurga flora dan fauna bagi Borneo sedangkan hakikatnya dipenuhi ladang kelapa sawit," tanya Nurul Izzah.

Lihat Komen
ADS