Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Bekas anggota parlimen Benut, Mohamed Tawfik Ismail, mengemukakan permohonan mendapatkan pengisytiharan mahkamah bahawa usul meminda Akta 355 dibawa Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat sebagai bercanggah dengan perlembagaan.

Dalam permohonannya hari ini, Tawfik mendakwa, usul presiden PAS itu akan memberi kesan kepada perundangan kepada dasar negara mengenai undang-undang jenayah dan hukuman mengikut undang-undang Islam dan memberi kesan kepada orang Islam dan bukan Islam di Malaysia.

Anak bekas timbalan perdana menteri itu membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya melarang Dewan Rakyat memberi laluan kepada usul Abdul Hadi - atau sebarang usul lain yang ada kaitan dengan Akta 355 - dibentang dan dibahaskan.

Katanya, usul Abdul Hadi itu tidak menepati kehendak dan peraturan mesyuarat Dewan Rakyat.

Tawfik menamakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, dan Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Roosme Hamzah, sebagai defendan.

Katanya, rang undang-undang dibawa Abdul Hadi itu melanggar Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak kesamarataan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Beliau juga menyatakan, sebarang perkara yang memberi kesan kepada dasar kebangsaan sepatutnya mestilah dirundingkan dengan Majlis Raja-raja.

"Usul Abdul Hadi mengenai Akta 355 tidak dirujuk terlebih dulu kepada Majlis Raja-raja mengikut Artikel 38 Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Justeru, kata Tawfik, mahkamah patut mengisytiharkan usul Abdul Hadi sebagai bercanggah dengan perlembagaan.

Beliau diwakili peguam Rosli Dahlan yang mengemukakan permohonan berkenaan tengah hari tadi.

Mereka juga dijangka akan menyerahkan saman kepada Pandikar dan Roosme minggu depan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS