Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
IGP: Peter Chong dilihat seberang sempadan Thailand

 

 

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan bahawa aktivis Peter Chong yang didakwa hilang, telah dilihat menyeberangi sempadan Thailand.

Menurut Khalid, Peter dilihat menyeberangi sempadan Thailand melalui Bukit Kayu Hitam dengan menaiki bas pada jam 6.30 pagi 7 April.

"Saya ingin sahkan Peter Chong, kita nampak dia telah seberangi sempadan Thailand pada jam 6.30 pagi 7 April. Kita ada dapat gambar dia.

"Dia seberangi melalui sempadan Bukit Kayu Hitam menaiki bas.

"Saya tak tahu apa niat, tujuan dia hilangkan diri ke sana dan dilihat seolah-olah dia diculik dan viral," kata Khalid dalam sidang media selepas menghadiri himpunan bulanan polis peringkat Bukit Aman hari ini.


Sehubungan itu, Khalid turut memberi amaran kepada mana-mana pihak agar tidak melakukan perkara yang boleh mengelirukan serta menimbulkan rasa gelisahan orang ramai.

"Kita tak tau sama ada dia lari sebab dia ada hutang ke, kita tak tahu. Tapi kita ada gambar dia.

"Saya beri amaran jangan kelirukan orang ramai kerana ini menimbulkan rasa gelisah orang ramai seolah-olah dia juga telah diculik.

"Saya harap dia berhubung dengan saudara mara dia, beritahu bahawa dia sihat dan beritahu dia lari ke sana (Thailand). Melainkan dia sengaja nak timbulkan suasana mengelirukan, dia kena bersiaplah dengan tindakan kita pula," tegas Khalid yang turut memberitahu pihaknya kini bekerjasama dengan Thailand untuk mengesan Peter.

Anak Chong, Darryl, dilaporkan berkata, kali terakhir dia melihat bapanya di rumah mereka di Kuala Lumpur Rabu lalu, dan keluarga mereka terputus hubungan dengannya beberapa hari kemudian.

Keluarga itu membuat laporan polis pada hari Sabtu.

Chong, juga adalah bekas pembantu kepada Ahli Parlimen Subang R Sivarasa.

Dia adalah orang kelima yang terlibat dalam aktiviti politik atau keagamaan yang didakwa hilang sejak November.

Empat yang lain adalah paderi Raymond Koh, paderi Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth dan aktivis Perlis Hope, Amri Che Mat.

Sementara itu, Khalid turut menjelaskan tentang gambar viral di media sosial kononnya lima mangsa telah hilang diculik.

Menurut Khalid, hanya seorang sahaja iaitu Raymond Koh yang disahkan diculik manakala selebihnya diklasifikasikan sebagai orang hilang.

"Viral kononnya kes orang diculik. Saya ingin beri amaran pada mereka yang cuba kelirukan orang ramai, ini tak benar. Daripada lima orang, cuma seorang yang ada bukti mereka ini diculik iaitu pastor Koh.

"Yang lain tak ada bukti yang tunjuk diculik dan mereka kekal sebagai orang hilang," jelasnya.

Sejak 2011-2015, Khalid berkata seramai 13,290 kes orang hilang dan sehingga tahun lalu, 8,117 kes selesai serta 5,173 orang hilang masih lagi disiasat.

.

 

Lihat Komen
ADS