Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Identiti didedah - Nasharudin Mat Isa
Diterbitkan:  Apr 13, 2017 1:59 PM
Dikemaskini: 7:13 AM

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli hari ini mengotakan janjinya untuk mendedahkan nama bekas pemimpin PAS yang didakwa menerima dana berkaitan 1MDB.

Dalam sidang media di ibu kota hari ini, Rafizi menamakan individu misteri itu sebagai bekas timbalan presiden PAS Nasharudin Mat Isa.

Rafizi juga membuat akuan berkanun (SD) berhubung perkara itu.

Beliau mendakwa bekas timbalan presiden PAS itu menerima dana daripada bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

Nasharuddin, yang kalah kepada pemimpin agresif PAS ketika itu Mohamad Sabu, sering dikaitkan dengan agenda kerajaan perpaduan antara partinya dan Umno.

Beliau kini memimpin Gerakan Kesederhanaan Global (GMM), yayasan yang diilhamkan oleh Najib.

Rafizi pada 6 April lalu mendakwa mempunyai bukti seorang yang rapat dengan kepimpinan PAS menerima dana itu yang disalurkan langsung daripada akaun peribadi Najib.

Rafizi kemudian terus berteka-teki selama seminggu dan hanya memberi bayangan individu itu sebagai pernah menjadi pemimpin PAS dan pernah ditegur oleh bekas mursyidul am allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Ramai pihak telah membuat spekulasi bahawa Rafizi memang merujuk kepada Nasharuddin, termasuk penulis blog Raja Petra Kamaruddin yang menamakannya.

Malaysiakini telah berulang kali cuba menghubungi Nasharuddin melalui pelbagai cara – panggilan telefon, pesanan teks, e-mel dan faks – untuk mendapatkan reaksinya tetapi tidak berbalas.

Malaysiakini terus cuba mendapatkan penjelasannya selepas Rafizi menamakannya hari ini.

Najib telah berulang kali menafikan menggunakan dana awam untuk kepentingan peribadi. Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali juga telah membersihkan namanya daripada sebarang salah laku.

Maklumat penyiasat SPRM

Sementara itu, akaun berkanun Rafizi itu menyebut beliau mendapat maklumat itu daripada seorang bekas pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terlibat dalam siasatan ke atas dana 1MDB.

Katanya, bekas pegawai yang tidak dinamakan itu, mempunyai maklumat sahih dan terperinci mengenai siasatan berkaitan, termasuk aliran dana 1MDB yang didakwanya mengalir ke akaun Najib, seterusnya tokoh-tokoh politik lain.

Rafizi berkata beliau diberitahu bahawa pembayaran dibuat dalam bentuk cek melalui “peguam tertentu”.

“Perkara ini ada unsur salah guna kuasa yang boleh disiasat bawah pelbagai undang-undang negara sekiranya bayaran kepada seorang mantan pimpinan PAS itu adalah pertukaran kepada usaha melunakkan suara PAS (sebagai parti pembangkang utama) dalam isu-isu bersabit skandal 1MDB dan pemindahan wang ke akaun YAB Datuk Seri Najib Tun Razak,” menurut SD itu.

Rafizi juga berkata beliau nekad mendedahkan nama Nasharudin memandangkan beliau dilantik sebagai anggota panel perundingan dan pencegahan rasuah SPRM.

“Sebagai seorang penerima dana rakyat 1MDB (melalui SRC International Sdn Bhd) yang telah disiasat oleh SPRM, beliau tidak layak berada di kedudukan itu dan wajar meletakkan jawatan segera,” katanya.

Rafizi berkata beliau akan membuat laporan kepada SPRM dengan harapan kertas siasatan terhadap dana SRC yang dilapor dipindahkan ke akaun Najib dibuka kembali.

SD itu dibuat di hadapan pesuruhjaya sumpah di Sungai Besi hari ini.

Lihat Komen
ADS