Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Takkan kerana Selena Gomez, sindir Azmin pada PAS
Diterbitkan:  Apr 30, 2017 7:27 PM
Dikemaskini: 11:31 AM

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini menyindir perwakilan Pemuda Pas yang menjadikan isu penyanyi antarabangsa, Selena Gomez sebagai penyebab tahalluf siyasi antara PKR dan parti Islam itu perlu ditamatkan.

"Takkan kerana Selena Gomez kita nak berpecah belah," kata Mohamed Azmin yang juga timbalan presiden PKR, memetik laporan oleh Sinar Harian Online.

Jelas beliau, perbezaan pandangan dalam politik merupakan perkara biasa kerana dalam rumah tangga juga mempunyai perbezaan antara suami dan isteri.

Parti-parti pembangkang perlu memikirkan isu-isu yang lebih besar terutama melibatkan kerjasama mereka pada PRU14 kerana rakyat sedang memerhati siapa yang akan dipilih nanti, katanya lagi.

"Ini dalam dua tiga hari ini, saya kena teruk jugak. Tak apalah siapa hentam pun... Marah kerana saya menyokong Selena Gomez. Saya cakap betul, saya tak kenal sangat Selena Gomez ni, Tanya presiden (Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail), presiden kenal saya. Saya kenal lagu-lagu nasyid saja, saya dengar tazkirah saja, penyanyi artis saya tak kenal. Mengapa marah saya?

"Tak apalah... Nak marah, marahlah. Saya tak ambil hati, saya maafkan mana-mana pihak, individu yang marah saya kerana tanggungjawab saya nak jatuhkan Umno dan BN. Sekarang parti-parti politik berpecah kerana apa? Kerana Selena Gomez tak bolehlah tuan-tuan. Kalau saya salah guna kuasa, rasuah, saya zalim maka tolaklah saya," ujar Mohamed Azmin.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen PKR Perak, hari ini.

Sebentar tadi, muktamar tahunan PAS hari ini menyatakan persetujuan menerima usul bagi memutuskan tahaluf siyasi melibatkan kerjasama antara parti itu dan PKR.

Usul tersebut dibentangkan oleh Perwakilan Dewan Ulama PAS Pusat, Zulkifli Ismail pada sesi pembentangan usul yang diterima untuk dibahas.

"Saya mewakili dewan ulama PAS pusat dan seluruh dewan-dewan yang lain dan kawasan yang mengemukakan usul ini. Sejarah lalu mencatatkan bahawa PAS telah melaksanakan hubungan tahaluf siyasi dengan berbagai pihak di sepanjang tempuh perjuangan PAS ini.

"Maka sempena Muktamar Tahunan PAS Ke-63, kami mengusulkan supaya tahaluf siyasi antara PAS dan PKR diputus dengan tertakluk kepada Majlis Syura Ulama, kita menyerahkan keputusan untuk memutuskan keputusan usul ini kepada Majlis Syura Ulama," katanya.

Terdahulu, usul tersebut telah diusulkan oleh 21 PAS kawasan dalam mesyuarat agung masing-masing dan Dewan Ulama PAS Pusat serta Pemuda PAS dan diletakkan sebagai usul ketiga dalam kategori usul yang diterima untuk perbahasan.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, dasar-dasar peduli rakyat yang diperkenalkan kerajaan Selangor perlu dipertahankan oleh pimpinan parti-parti yang menolak BN.

Tegasnya, Pakatan Harapan dan parti-parti progresif yang lain perlu menunjukkan kesatuan mereka kerana rakyat sedang melihat pengganti kepada BN.

Lihat Komen
ADS