Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib ragui keupayaan HARAPAN tadbir negara
Diterbitkan:  May 5, 2017 11:44 AM
Dikemaskini: 4:29 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menimbulkan keraguan berhubung keupayaan gabungan pembangkang Pakatan Harapan untuk mentadbir negara ini, dengan memetik ketidak-stabilan politik di Selangor.

“Di Selangor pada masa ini, keadaan politik sebenarnya tidak stabil sekiranya PAS atau DAP menarik diri daripada kerajaan, kedudukan Menteri Besar dan kerajaan negeri sudah tentunya akan terjejas.

“Bayangkan sekiranya perkara ini terjadi di peringkat persekutuan. Untuk memastikan ekonomi membangun dan kebajikan rakyat terpelihara, kerajaan perlu dipimpin oleh gabungan parti yang kukuh, berpengalaman dan sehaluan,” kata Najib dalam catatan terbaru di blog.

Ketika ini, timbul spekulasi ada beberapa ADUN yang akan melompat parti sementara PAS menunggu keputusan Dewan Syura Ulama sama ada untuk menerima usul Muktamar PAS ke-63 yang mahu parti itu memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

Sekiranya ini menjadi kenyataan, kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali kemungkinan akan tumbang.

Azmin yang juga adalah timbalan presiden PKR dijadual pulang dari luar negara hari ini, dan Kelab Penyokong Kerajaan Selangor dilaporkan meminta semua ADUN dan penyokong supaya berada di lapangan terbang sebagai tanda sokongan dan bukti kerajaan negeri masih utuh.

Tak mampu bertahan lama

Mengulas lanjut, Najib berkata, kestabilan politik memainkan peranan penting dalam pembangunan sesebuah negara dan antara faktor menentukannya adalah kerjasama antara parti politik dalam gabungan parti yang memerintah.

“Melihat pada sejarah pakatan pembangkang, mereka tidak mampu bertahan lama.

“Sejak tahun 1986, pembangkang sudah membentuk sembilan pakatan seperti Barisan Alternatif yang ditubuhkan pada tahun 1998 tetapi dibubarkan pada tahun 2008.

“Kemudiannya Pakatan Rakyat yang hidup sejak 2008 hingga 2015. Pakatan-pakatan ini terpaksa dibubarkan selepas beberapa tahun,” katanya.

Najib juga megambil kesempatan membidas bekas pemimpin Umno, walaupun tidak menamakan mereka.

“Yang lucunya, pembangkang kini didatangi parti kecil baru yang ingin menukar nama Pakatan Harapan. Pakatan apa pula yang akan timbul nanti?” soalnya.

Kerap rombak kabinet

Minggu ini selepas cadangan logonya dihentam teruk, Pakatan Harapan mengalu-alukan orang ramai menghantar rekaan logo mereka untuk digunakan gabungan itu dalam pilihan raya.

Ketua biro strategi dan dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Rais Husin juga mendedahkan senarai nama Majlis Presiden Pakatan Harapan masih dirangka.

Beliau juga mengakui maklumat yang dibocorkan dilakukan dengan niat jahat untuk menggagalkan perbincangan pakatan pembangkang.

Bagi Najib, konflik dalaman akan menyebabkan mereka tidak dapat menumpukan perhatian pada rakyat.

“Kerajaan yang diperintah mereka ini berpecah belah dan boleh mengakibatkan ekonomi merudum.

“Kepimpinan yang tidak sehaluan akan mendorong kabinet bertukar dengan kerap.

"Kesannya, kelangsungan perkhidmatan asas yang disediakan kerajaan akan terhenti atau tergugat,” katanya.

Najib sendiri telah merombak atau membuat perubahaan kepada kabinetnya empat kali sejak 2014.

Dalam satu rombakan pada 2015, Najib memecat timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal.

Beliau membuat perubahan seterusnya tahun lalu, apabila menteri kewangan kedua ketika itu, Datuk Seri Husni Hanadzlah memilih untuk bersara dan bukannya beralih kepada kementerian lain.

Muhyiddin, Shafie, dan Husni masing-masing lantang mengkritik atau menyuarakan kebimbangan mengenai idea bermasalah Najib, 1MDB.

 

Lihat Komen
ADS