Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kedudukan PAS dalam kerajaan Selangor, setelah parti itu memutuskan hubungan dengan PKR, akan dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik PKR malam esok.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dalam sidang media di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya, hari ini.

"Presiden (Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail) kini berada di Sabah dan malam esok kita ada mesyuarat Biro Politik.

"Semalam Azmin juga telah maklumkan butiran pertemuan beliau dengan pesuruhjaya PAS serta tiga exco Selangor yang berlangsung pada hari Jumaat kepada saya sebagai setiausaha agung.

"Saya percaya perkara ini akan disampaikan (dalam mesyuarat Biro Politik)," kata Saifuddin.

Terdahulu, Saifuddin memaklumkan parti itu akan mengadakan kongres tahunannya di Dewan Raja Muda Musa, di Shah Alam pada 21 Mei ini.

Walaupun membatalkan kerjasama dengan PKR, PAS memutuskan tetap berada dalam kerajaan negeri atas alasan demi menjaga 'maslahah' rakyat.

Azmin telah memanggil ketiga-tiga exconya daripada PAS dan pesuruhjaya negeri bagi mendapatkan penjelasan mereka dan menyatakan rasa kecewa dengan pembatalan kerjasama itu.

Menjelaskan sikap

Sementara itu, mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin bahawa parti itu bersikap terbuka dan sedia berbincang dengan mana-mana parti termasuk Umno untuk bekerjasama, Saifuddin menjelaskan ia hak PAS.

"PAS berhak untuk bertahaluf dengan sesiapa saja yang parti Islam itu mahu sama seperti mana mereka berhak memutuskan hubungan kerjasamanya dengan PKR," kata Saifuddin.

Bagaimanapun, Saifuddin berkata apa yang bakal berlaku antara PAS dengan Umno itu nanti bukti jelas pendirian parti Islam itu sekali gus memudahkan rakyat membuat pilihan.

"PAS bebas nak bertahaluf dengan siapa dan kalau kenyataan itu benar ia semakin menjelaskan sikap (PAS) dan itu sangat membantu rakyat Malaysia membuah pilihan," tambah Saifuddin.

Selepas kerjasama politik dengan PKR terkubur secara rasmi, PAS dilaporkan bersikap terbuka untuk mengadakan tahaluf baru dengan sesiapa yang dirasakan sesuai.

Bagaimanapun, Hashim berkata seperti yang selalu ditekankan pemimpin parti itu, Hashim menegaskan, setiap kerjasama yang ingin dijalankan mestilah "dipimpin oleh Islam".

Hashim dipetik Utusan Online sebagai berkata, PAS tidak menolak kemungkinan mengadakan tahaluf siyasi dengan Umno pada masa depan.

Kata Hashim, tindak-tanduk Umno serta presidennya, Datuk Seri Najib Razak yang meletakkan konsep Islam dalam pentadbiran memungkinkan perkara itu berlaku.

Lihat Komen
ADS