Kencing tikus: Air terjun Gunung Pulai 1 ditutup dua minggu

   

Air Terjun Gunung Pulai 1 di Kulai akan ditutup selama dua minggu mulai hari ini hingga 1 Jun susulan kematian seorang lelaki akibat kencing tikus malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata penutupan adalah disebabkan persekitaran yang kotor dan membolehkan penyiasatan lanjut dilakukan.

"Jabatan Kesihatan Negeri Johor telah mengarahkan supaya air terjun berkenaan ditutup selama dua minggu mulai 5 petang ini. Sampel air terjun itu telah diambil, namun keputusan sampel air itu belum diperoleh," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ayub berkata beliau akan mencadangkan kepada kerajaan Johor supaya mewartakan Gunung Pulai 1 sebagai Taman Negara Johor bagi meningkatkan kecekapan pengurusan sekali gus menangani masalah persekitaran yang kotor.

Beliau sehubungan itu menasihati pengunjung air terjun atau pusat reakreasi lain sekitar bulan lepas dan bulan ini untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut di Klinik Kesihatan atau hospital, terutama yang mengalami sakit perut, selesema, demam dan lemah anggota badan.

Kes kematian itu membabitkan seorang lelaki berumur 18 tahun yang meninggal di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Mangsa dari Pekan Nenas, Pontian disahkan meninggal setelah tiga hari berada di Unit Rawatan Rapi HSA.

Dikatakan dia mengunjungi Air Terjun Gunung Pulai bulan lepas dan pada awalnya mengalami sakit perut, selesema, demam selama tiga hari serta lemah anggota badan.

Jabatan Kesihatan Negeri Johor kini dalam proses penyiasatan dan mengenal pasti pergerakan lelaki itu sebelum dia dimasukkan ke hospital.

- Bernama
 

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda