Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ULASAN | Apabila saya membaca saman sivil 251 mukasurat yang difailkan oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat kelmarin, saya rasa ia tidak ubah seperti sebuah karya fiksyen.

Saya amat teruja dengan jalan ceritanya, watak-watak yang disebut seolah-olah lebih dasyat dari Voldermort dalam kisah Harry Potter atau Claudius dalam karya William Shakespeare, Hamlet.

Namun, fiksyen tetap sebuah fiksyen dan ianya kekal rekaan imaginasi semata-mata.

Dokumen saman tersebut cuma penuh dengan cerita-cerita kosong serta kronologi peristiwa yang dikatakan telah berlaku sepanjang beberapa tahun yang lepas.

Ia tidak langsung dilampirkan dengan sebarang bukti mengenai ‘Penyelewengan Dana 1MDB’ oleh individu-individu yang telah dinamakan.

Jadi bagi saya, melainkan satu keputusan di mahkamah yang adil bersandarkan bahan bukti yang kukuh serta kesaksian individu yang tidak berkepentingan dan diragui, barulah satu telahan baru boleh dibuat terhadap apa yang disebut dalam saman DOJ ini.

DOJ sendiri nampaknya mengambil langkah berhati-hati apabila menamakan individu-individu dalam saman tersebut.

Jika mereka mempunyai bukti yang kukuh yang melibatkan pegawai-pegawai kerajaan ini, maka sudah tentu mereka akan terus menamakan individu-individu tersebut dengan nama yang sebenar sebagai defendan.

Pembangkang alih isu rakyat

Namun, saman sivil DOJ siri ke dua ini menjadi satu bahan baru buat pembangkang yang kehausan isu dan berada di ambang keretakan yang maha dasyat.

Sejak beberapa bulan lepas, mereka seakan-akan hilang arah kerana diasak dengan pelbagai permasalahan dan pertikaian dalaman.

Perginya PAS meninggalkan wadah Pakatan Harapan merupakan satu malapetaka kepada mereka.

Tanpa ketumbukan pengaruh PAS, mereka kehilangan lebih dari separuh sokongan yang diperlukan untuk menang pada pilihan raya umum.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pula tidak mampu meraih sokongan ahli-ahli Umno yang diimpikan selama ini, malah satu demi satu pemimpin mereka pergi meninggalkan parti.

BERSATU telah digoncang kuat apabila ketua-ketua penaja bahagiannya di seluruh negeri Perak keluar parti beramai-ramai. Ternyata Tun Dr Mahathir Mohamad itu tidaklah sehebat mana dalam memimpin sesebuah gerakan.

DAP pula diancam dengan pelbagai tuduhan korupsi yang berlegar di sekitar Komtar. PKR juga berdepan krisis perpecahan apabila timbul pertikian terbuka antara pemimpin-pemimpin mereka.

Faksi-faksi Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden PKR mula menghala muncung senjata ke arah masing-masing.

Bagai warga zoo yang dihulurkan makan dalam baldi, maka bertempiklah mereka apabila timbul isu DOJ ini. Mudah untuk mengalihkan fokus rakyat terhadap masalah yang dialami mereka.

Satu demi satu kenyataan dibuat dengan pelbagai saranan dan tuduhan. Saya percaya, ramai yang mengeluarkan kenyataan itu masih belum memahami saman sivil DOJ ini kerana mereka tidak membacanya dari helaian ke helaian.

Rakyat mudah terpengaruh

Bagi menghangatkan lagi keadaan, fiksyen saman kali ini dikarang dengan tambahan satu watak baru iaitu ‘isteri MO1’.

Mereka tahu bahawa rakyat Malaysia mudah terpengaruh dengan cerita-cerita sensasi mengenai Datin Seri Rosmah Mansor.

Maka mereka membuat watak yang membayangkan seolah-olah Datin Seri Rosmah juga turut terlibat dalam cerita rekaan mereka ini.

Kendatipun mereka tidak mempunyai sebarang bukti kukuh, namun dengan menggunakan nama pembayang ini mereka terselamat dari sebarang tindakan atau tentangan dari kerajaan Malaysia.

Dalam masa yang sama objektif mereka untuk memburuk-burukkan Datuk Seri Najib dan Datin Seri Rosmah tetap terlaksana. Bijaknya mereka ini memperbodohkan kita!

Mereka tidak salah startegi. Pemimpin dan penyokong pembangkang, keyboard warriors dan pemilik portal yang dahagakan isu sensasi terus keluar dengan telahan masing-masing.

Seorang pemimpin DAP pula melompat seperti kera menggesa Datin Seri Rosmah menjelaskan siapa isteri MO1 tersebut.

Inilah contoh satu kebodohan yang jelas, saman tersebut difail oleh DOJ, maka tanyalah kepada DOJ.

Jika tanya kepada Datin Seri Rosmah dia sendiri pun tidak tahu kerana bukan dia yang mengarang saman tersebut.

Masihkah kita ingat sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas, kita digembar-gemburkan dengan fitnah cicin berlian RM24 juta? Sudah bertahun isu itu dimainkan, mereka tetap gagal membuktikan bahawa cincin itu dibeli oleh Datin Seri Rosmah.

Cabaran yang dilemparkan kepada mereka untuk mengeluarkan bukti disambut hambar.

Pegawai Datin Seri Rosmah, Datuk Rizal Mansor pula yang berjaya mengeluarkan bukti-bukti dan dokumen yang jelas menafikan bahawa cincin itu dibeli oleh Datin Seri Rosmah.

Menjelang pilihan raya ini, lagu yang sama dimainkan sekali lagi. Cuma jumlah kali ini lebih besar, sudah jadi AS$27 juta!

Adakah perlu kita percaya dengan dendangan yang sama kali ini, sudah tentu tidak.

Sumbangan Rosmah

Kita perlu amati dengan baik, selain sibuk dengan kerja-kerja kebajikan Datin Seri Rosmah juga tidak putus-putus dengan program dan ideanya untuk memajukan perkembangan anak-anak Malaysia dalam penguasaan ilmu dan pendidikan.

Kita boleh menjadi rakyat yang negatif dengan hanya memandang kepada fitnah-fitnah sensasi di keliling beliau ataupun kita boleh memilih untuk menjadi rakyat yang positif dengan memandang idea, usaha dan kerja-kerja yang telah Datin Seri Rosmah lakukan.

Jika diambil pendekatan melihat dari fikiran yang positif, besar manfaatnya untuk kita semua.

Bukan sekadar mengiktiraf, malah kita dapat turut bersama membantu mencapai cita-cita besar yang diilhamkan oleh Datin Seri Rosmah.

Bukan untuk orang lain, tetapi untuk kebaikan anak cucu kita juga. Andai kita biarkan fikiran kita terus berpeleseran di sekitar gosip dan fitnah hangat, maka kerugiannya kelak tertanggung pada diri kita juga. Maka pilihan ditangan anda semua.

Ramai yang menilai pemimpin pembangkang atas kehebatan mereka mengeluarkan kenyataan dan kelincahan berpidato semata-mata.

Sedangkan mereka ini masih tidak mampu melaksanakan satu idea besar untuk masa depan anak Malaysia walaupun sudah hampir dua penggal berkuasa di Pulau Pinang dan Selangor.

Jika dibandingkan dengan kerja-kerja yang dilakukan oleh Datin Seri Rosmah yang tidak mempunyai jawatan politik ini, saya meletakkan pemimpin pembangkang ini cuma tin kosong!

Jangan terpedaya penipuan akhir zaman

Berbalik kepada isu saman DOJ, ada suara yang menyuruh Datuk Seri Najib dan Datin Seri Rosmah bersumpah menafikan mereka adalah ‘MO1 dan isteri'. Ini paling kelakar!

Kenapa sekarang beria-ia percaya pada sumpah. Ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa bersumpah dahulu pelbagai alasan yang diberikan, sehingga pemimpin pembangkang terpaksa mengheret seorang dua ulama besar untuk menafikan keperluan Anwar bersumpah.

Berlaku adil, gesaan yang sama perlu ditujukan kepada Anwar bagi menafikan kes liwatnya, Tan Sri Muhyidin Yassin bagi menafikan kes Nika Geenya dan Mahathir bagi menafikan segala skandal-skandal besar sewaktu pemerintahnya.

Rakyat jangan mudah percaya kepada penipuan besar di akhir zaman ini. Mereka ini jaki dan iri hati dengan pemimpin negara ini.

Dengan pertumbuhan ekonomi pada kadar yang memberasangkan secara beruturutan setiap tahun, keeratan persahabatan Malaysia dengan blok-blok kuasa dunia lain dan kekukuhan daulat Islam di Malaysia membuatkan mereka tidak senang duduk.

Proksi-proksi mereka di Malaysia juga tidak mampu tidur lena dengan kedudukan politik parti pemerintah yang semakin mengukuh.

Kajian yang dijalankan oleh Rafizi Ramli sendiri membuktikan bahawa populariti Datuk Seri Najib bertambah baik.

Maka dari dalam dan luar negara mereka bekerja untuk memastikan kerajaan yang ada pada hari ini tersungkur pada PRU akan datang.

Jadi tidak hairanlah apabila sekali lagi Datin Seri Rosmah dan ahli keluarga beliau menjadi mangsa serangan tohmahan mereka.

Pelbagai agensi telah menjalankan siasatan terhadap 1MDB, ini termasuk Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang dianggotai oleh ahli parlimen pembangkang sendiri.

Namun, dalam laporan jawatankuasa tersebut tidak tertulis sebarang penglibatan mana-mana individu yang disebut dalam saman DOJ tersebut.

Anggota Parlimen DAP Kepong, Tan Seng Giaw juga terang menyatakan bahawa tiada bukti penglibatan Datuk Seri Najib.

Adilnya, siasatan juga perlu dilakukan kepada beberapa individu yang dinamakan baru-baru ini yang disyaki berkonspirasi dengan kuasa asing untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia.

Jangan berdiam diri, berpeluk tubuh

Beberapa tahun lepas, saya telah acap kali mendedahkan penglibatan kuasa asing dalam usaha menjatuhkan kerajaan Malaysia.

Perkara ini sudah berpuluh tahun berlaku, mereka telah menyalurkan dana dan pelbagai bantuan kepada pihak-pihak yang memusuhi kerajaan.

Tidak boleh lagi berdiam diri dan berpeluk tubuh, satu tindakan keras harus diambil kepada pengkhianat-pengkhianat negara ini.

Jika tidak, saya tidak terkejut jika pada masa akan datang pelbagai lagi saman sivil atau tindakan undang-undang yang dimanupulasi oleh pihak asing ini diusahakan untuk menggugat kestabilan dan keutuhan pemerintahan di Malaysia.

Sampai detik dan ketikanya itu, kita harus tetap pegang kepada pendirian yang teguh untuk tidak mudah percaya dan terjerumus ke dalam dosa fitnah akibat terpengaruh dengan tuduhan-tuduhan tidak berasas ini.

Saya berharap dan berdoa semoga Datuk Seri Najib dan Datin Seri Rosmah diberikan kekuatan untuk menghadapi segala tohmahan. Persetankan segala serangan yang tidak berasas ini.

Dan saya percaya Datuk Seri Najib dan Datin Seri Rosmah akan terus istiqamah dalam melakukan yang terbaik untuk anak bangsanya. Rakyat yang dambakan kemajuan bangsa tanahair ini akan terus bersama.


Muhammad Rahimi Osman dari Pertubuhan Gerakan Transformasi Nasional 50. 

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

 

Lihat Komen
ADS