Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan

Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) menjadi majlis sukan negeri yang pertama menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Majlis bacaan ikrar disusuli upacara menandatangani IBR di hadapan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Jamil itu diketuai oleh Pengarah MSWP Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii.

Dalam ucapan ringkasnya sebelum itu, Shamshun Baharin berkata langkah itu diyakini dapat membantu merealisasikan visi MSWP melahirkan atlet bertaraf antarabangsa dan berintegriti kerana bidang sukan juga tidak lepas daripada berhadapan anasir rasuah atau salah guna kuasa.

"IBR merupakan inisiatif yang dapat memperlihatkan kejujuran, keikhlasan, komitmen kerja dan keinginan untuk berkhidmat dalam suasana kerja yang kondusif dan bebas daripada sebarang gejala rasuah.

"Tahniah kepada MSWP kerana tampil menjadi majlis sukan negeri pertama yang menyertai IBR dan ini membuktikan badan-badan sukan juga tidak berkecuali untuk turut serta dalam menjayakan usaha kerajaan dan SPRM memerangi rasuah," katanya.

Beliau berkata MSWP merupakan antara 445 entiti meliputi kementerian, jabatan, agensi dan institusi pengajian tinggi yang telah menandatangani IBR setakat ini sambil berharap lebih banyak pihak mengambil bahagian selepas ini.

Dalam pada itu, Mohd Razlan berkata sebanyak 50 orang jurulatih, 50 wakil persatuan sukan yang bernaung di Wilayah Persekutuan serta 50 orang kakitangan MSWP menyertai bacaan ikrar tersebut.

Beliau berkata objektif utama MSWP menandatangani IBR adalah untuk mendapatkan komitmen pimpinan sukan serta atlet dalam membanteras dan mengelak rasuah selain meningkatkan dan memperkemas profesionalisme pengurusan pentadbiran sukan di Wilayah Persekutuan.

-Bernama

Lihat Komen
ADS