Malaysiakini
BERITA

Kasut dibaling ke arah Dr M, kerusi terbang dalam Nothing To Hide 2

Diterbitkan
Dikemaskini 13 Ogs 2017, 4:25 petang

KEMASKINI Program Nothing to Hide 2.0 di Shah Alam hari ini bertukar ganas apabila beberapa individu menimbulkan kekecohan di dewan tempat berlangsung acara itu.

Kekecohan bermula ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjawab soalan peserta mengenai peristiwa Memali, apabila tiba-tiba kasut dan selipar dibaling ke arahnya.

Bagaimanapun beberapa petugas keselamatan berjaya melindungi dan membawa keluar bekas perdana menteri itu dari Dewan Raja Muda Musa yang menjadi tempat acara itu berlangsung.

Keadaan kemudian menjadi tidak terkawal apabila objek seperti kerusi, selipar dan botol air dibaling di dalam dewan.

Dalam keadaan huru hara itu, beberapa individu turut membakar dan membaling suar di lokasi kejadian.

Sekurang-kurangnya dua suar dinyalakan oleh individu yang dipercayai melakukan provokasi, menyebabkan kepulan asap memenuhi dewan.

Keadaan menjadi semakin tegang apabila berlaku pertempuran antara penyokong BERSATU dan individu berkenaan sehingga melarat keluar dewan.

Turut kelihatan sekumpulan pemuda keluar dari dewan itu dan menanggalkan baju-T ARMADA yang dipakai mereka, sebelum meninggalkannya di lantai.

Penyokong BERSATU kemudian menahan tiga individu yang disyaki sebagai pengacau. 

Suspek berkenaan, yang cedera akibat dipukul, kemudian diserahkan kepada pihak polis.

Sementara itu dalam sidang media, polis mengesahkan telah menahan tiga suspek yang disyaki pelajar kolej swasta dan seorang penganggur bagi membantu siasatan.

"Ekoran dari kekecohan tiga orang lelaki Melayu telah ditahan oleh orang awam. Dua orang pakai baju-T warna merah lambang ARMADA yang berumur 17 hingga 19 tahun.

"Kita akan panggil penganjur untuk teruskan siasatan," kata Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat.

 

 

 

 

 

 

 

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.