Malaysiakini

Belum ada rezeki

N Faizal Ghazali  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

SUKAN SEA | Kecewa namun tidak mengapa. Pasukan Malaysia terpaksa akur kepada kelincahan skuad Thailland di Stadium Shah Alam sebentar tadi.

Malah kemenangan itu juga jika dilihat dari sisi yang 'lain' menyaksikan ia dicapai hasil ihsan pemain tuan rumah sendiri.

Tumbukan penjaga gol Malaysia, Haziq Nadzli, cuba menyelamatkan percubaan pemain Thailand bertukar tragedi apabila ‎bola menerobos ke gawang sendiri sekali gus memberi gol kemenangan untuk pasukan lawan meraih ibu segala pingat emas Sukan SEA 2017, sebentar tadi.

Pada perlawanan akhir di Stadium Shah Alam itu, anak buah Datuk Ong Kim Swee dan seluruh warga Malaysia terpaksa akur dengan‎ kekalahan tipis 0-1 tu.

‎Hanya pingat perak yang mampu dihadiahkan skuad bawah B-22 (B22) Malaysia sekali gus gagal mengulangi kejayaan pada 2011.

‎Sorakan puluhan ribu penyokong di stadium, kedua-dua pasukan memulakan permainan dengan tempo agak perlahan pada awal 45 minit pertama.

Masing-masing melangkah dengan waspada mengatur taktikal masing-masing.

Thailand bagaimana pun mula mencemaskan kubu pertahanan tuan rumah, namun percubaan penyerang lawan sedikit tersasar ke arah kiri gawang.

Thailand meneruskan keghairahan mereka untuk mencari gol pertama pada minit ke-26, namun gawang tuan rumah berjaya diselamatkan.

Dan minit ke-38 menjadi pemisah. Kesilapan Haziq menumbuk bola hasil sepakan penjuru pemain lawan memberi gol percuma kepada kepada Thailand untuk mendahului dengan 1-0 pada separuh masa kedua.

Pada waktu rehat Presiden FAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut meluangkan masa memberikan kata semangat kepada pasukan kebangsaan untuk berjuang tanpa jemu.

Babak masa kedua bersambung, sentuhan pemain Malaysia tidak memperlihatkan kebangkitan yang ketara.

Walaupun sedar pihak lawan sedang mendahului, kesilapan-kesilapan mudah sering saja dilakukan Azib Zainuddin dan rakan-rakan. 

Kehadiran penyerang Malaysia seperti N Thanabalan, Safawi Rasid dan Jafri Firdaus Chew gagal melakukan penyudah sempurna.

Percaturan skuad negara nampak agak lompang di posisi tengah‎, manakala usaha serangan banyak dilakukan melalui bahagian sayap.

Bagaimanapun, posisi pertahanan Malaysia yang banyak membuat kawalan penyelamat ketika Thailand ghairah menyerang boleh dipuji.

Antaranya minit ke-52, serangan balas pantas skuad bimbingan Worrawoot Srimaka hampir menghadirkan gol kedua mereka, mujur serangan itu dipatahkan oleh pertahanan Malaysia.

Menjelang fasa akhir masa permainan, Malaysia dilihat lebih banyak menguasai bola dan cuba menghadirkan beberapa peluang namun gagal menembusi gawang Thailand.

Sepuluh minit terakhir Thailand memperkemas benteng pertahanan dan berjaya menangkis setiap percubaan dilakukan pemain negara untuk keputusan kekal 1-0 hingga wisel penamat bertiup panjang.