Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Pelakon Hafidz Roshdi mengaku khuatir sekiranya umum mempertikaikan kelelakiannya kerana menangis tak henti-henti apabila membawa watak yang memerlukannya mengeluarkan air mata sepanjang masa.

Biarpun ia sekadar memenuhi kehendak skrip dalam drama Kelip Kelip di Kota London, seboleh-bolehnya Hafidz tidak rela penonton salah memberi tafsiran mengenai dirinya.

“Saya bimbang akan timbul persepsi kurang enak selepas mereka melihat saya menangis banyak kali. Iyalah saya jantan, takkanlah asyik nak menangis,” katanya.

Pemilik nama penuh Muhammad Hafidz Roshdi, 23, itu ditemui pada acara Celebfest 2017 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Suntec Singapura baru-baru ini.

Kehadiran Hafidz pada Celebfest 2017- acara tahunan yang mempromosi produk jualan seperti makanan dan pakaian - itu adalah bagi memenuhi undangan istimewa anjuran Tonton dengan kerjasama Singtel.

Kelip Kelip di Kota London bakal bersiaran di saluran TV3 pada Mac 2018, namun penonton boleh menyaksikan drama bersiri arahan Muralli Abdullah itu lebih awal melalui Tonton.

Tonton adalah sebuah portal yang menawarkan perkhidmatan penstriman terbesar di Malaysia.

Menurut Hafidz, cabaran membintangi drama yang turut dijayakan oleh Hanna Aqeela sebagai watak utamanya itu memerlukan dia bermain emosi hingga menangis sampai kering air mata depan kamera.

“Bukan mudah, sampai saya terpaksa mendengar lagu Bollywood lah nak keluarkan air mata yang asli tanpa perlu menggunakan eye mo.

“Boleh dikatakan saya perlu menangis sampai 90 peratus babak demi menghidupkan watak Syed Syaufiq sepanjang tiga minggu penggambaran.

“Bukan watak saya saja, malah watak Hanna sebagai Insyirah pun perlu banyak menangis malah lakonan itu semakin menjadi-jadi apabila tiba waktu hujan di London,” katanya yang popular menerusi drama Tundukkan Playboy itu.

Kelip Kelip di Kota London mengisahkan watak Syed Syaufiq waris kepada jenama Al Haffiy yang gemar menjalani hidup liar di London. Sikap lelaki itu mula berubah selepas matanya terpaut pada Insyirah, wanita yang sedang menunaikan solat di sebuah taman.

Hafidz berharap dia berjaya memberi lakonan yang berkesan selain mengusik hati penonton kerana watak kerap menangis yang dibawanya itu.

“Kalau memang ada penonton sampai mengeluarkan air mata melihat Kelip Kelip di Kota London, ini bermakna lakonan saya menjadi,” katanya.

Lihat Komen
ADS