Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bukan tidak percaya dengan hasil karya orang lain, cuma kata Datuk M Nasir, dia berasa lebih selesa untuk menyanyikan lagu dengan meluahkan idea sendiri dalam setiap karyanya.

"Kumpulan Beatles ada bagi peluang pada orang lain? Tak ada," kata M Nasir dalam nada berseloroh.

"Kita nak express (luahkan) kita punya karya sendiri. Itu saja," katanya dalam satu forum anjuran Kelab Sahabat M Nasir yang membincangkan awal kerjaya seninya menubuhkan kumpulan folk rock Kembara sehingga album solo pertama bertajuk S.O.L.O.

Kata penyanyi dan komposer terkenal itu berkarya sepertinya lebih kurang sama seperti melukis.

"Kita tak gunakan orang lain untuk melukis (untuk kita)," tambahnya ketika diminta mengulas tentang dominasi lagu-lagu ciptaannya dalam tujuh album kumpulan berasal Singapura itu, dari 1981 hingga 1986.

Sebelum mengambil keputusan menubuhkan Kembara bersama dua rakannya, M Nasir berkata, dia hanya seorang "pelukis yang suka menyanyi".

Mendapat inspirasi daripada satu lagi kumpulan dari Singapura, M Nasir kemudian bertekad menubuhkan kumpulan sendiri sebagai landasan baru untuknya berkarya.

"Saya nak kumpulan berharmoni, tapi muziknya unsur macam-macam muzik.

"Rock, Melayu, dunia. Jadi lahirlah kumpulan Kembara," katanya.

Sepanjang penubuhan Kembara itu, kumpulan terbabit turut dianggotai A Ali dan S Sahlan. Mereka dikenali dengan lagu-lagu puisi serta lagu rakyat, antaranya Hati Emas, Ekspress Rakyat, Di Perhentian Puduraya serta Kolar Biru.

Pengaruh dari Barat

Setelah bergerak sebagai penyanyi solo, M Nasir turut mengakui dia jarang membawakan lagu penyanyi-penyanyi lain dalam persembahannya.

"Bila kita menyanyi lagu orang lain cipta, kita (hanya) menjadi seorang penyanyi.

"Bukan saya tak menghormati mereka. Saya minat banyak penyanyi lain juga, tetapi kerana tak rasa jujur," jelasnya.

Forum Magnum Opus 40 Tahun M Nasir: Kembara Ke Solo turut dibarisi penulis lirik Hairul Anwar Harun dan bekas pengarang majalah musik ROTTW, Seir Rashid.

Semasa sesi soal jawab bersama peminat, M Nasir turut berkongsi inspirasi musik di sebalik penciptaan lebih 50 lagu bersama Kembara.

Lahir di Singapura, M Nasir berkata dia membesar dengan lagu-lagu kumpulan legenda Barat pada 1960-an seperti Queen dan Led Zeppelin.

"Abang saya beli record player dan antara album pertama dia beli ialah dari kumpulan Queen.

"Mungkin sebab dia suka, jadi saya pun terikut macam suka... misalnya lagu Bohemian Rhapsody," katanya.

Pada masa sama, M Nasir turut mengakui elemen musik folk dalam lagu-lagu Kembara kental dengan pengaruh kumpulan asal AS, Crossby, Stills & Nash, yang mula popular di akhir 1960-an.

Setelah hampir 40 tahun berkecimpung dalam industri muzik tanah air, M Nasir berkata dia kini sedang sibuk menghasilkan album terbaru yang dijangka siap awal tahun depan.

Pada akhir forum yang berlangsung kira-kira dua jam di auditorium mini Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) di Kuala Lumpur, M Nasir turut menghiburkan peminatnya dengan lapan lagu, termasuk Mustika dan Rajawali Terbang Tinggi.

Lihat Komen
ADS