Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KDN dedah hampir 3,000 ditahan tanpa bicara
Diterbitkan:  Dec 31, 2017 10:06 AM
Dikemaskini: 2:15 AM

Pada masa ini terdapat seramai 2,787 orang ditahan di bawah pelbagai undang-undang penahanan pencegahan tanpa menghadapi perbicaraan.

Menurut rekod Jabatan Penjara Malaysia, pecahannya adalah seperti berikut setakat 9 Oktober:

600 orang ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca);

18 orang ditahan di bawah Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota);

1,829 ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952; dan,

340 orang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Data itu didedahkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Selayang, William Leong.

Bagaimanapun soalan Leong agar KDN mendedahkan pecahan mengikut pusat tahanan tidak dijawab dalam jawapan bertulis tersebut.

Pada tahun 2011, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pemansuhan undang-undang penahanan tanpa bicara, Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA).

Sehingga pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi, ISA berulang kali digunakan, antara lain untuk menahan tokoh pembangkang, wartawan dan aktivis sehingga dua tahun.

Pengkritik menegaskan bahawa pentadbiran Najib meminda undang-undang sedia ada dengan mewujudkan undang-undang hampir sama seperti Sosma, yang membolehkan penahanan tanpa bicara seperti ISA dilakukan.

Sosma digunakan untuk menahan bekas ketua bahagian Umno Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguam Matthias Chang selepas kedua-dua mereka memfailkan laporan mengenai urusan 1MDB di luar negara.

Undang-undang yang sama juga digunakan untuk menahan pemimpin BERSIH, Maria Chin Abdullah dalam perhimpunan BERSIH 5 tahun lepas. Tiada pertuduhan dikenakan terhadap Maria.

Lihat Komen
ADS