Paling Popular
Terkini

Datuk Farid Kamil hari ini menghadapi empat tuduhan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, termasuk mendatangkan kecederaan dan berkelakuan tidak senonoh.

Pelakon Anak Halal, Lagenda Budak Setan dan Tombiruo: Penunggu Rimba itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di ke atasnya di depan majistret Nor Ariffin Hisham.

Pegawai pendakwa, Fazeedah Faik, mencadangkan Farid, 37, dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan namun peguam pelakon terbabit, Athari Bahardin, mencadangkan kadar itu diturunkan kepada RM8,000 bagi semua dakwaan.

Majistret kemudian membenarkan Farid diikat jamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin sementara menunggu kes berkenaan disebut semula pada 5 Mac ini.

Farid kellihatan tenang apabila pegawai pendakwa membacakan satu demi satu tuduhan yang dikenakan terhadapnya tadi.

Diana hadir kali ini

Tidak seperti sebelum ini, isteri Farid, Diana Danielle 27, muncul berbaju kurung bermotif bunga di mahkamah pada pagi tadi sebelum bergerak meninggalkan kawasan terbabit menaiki kereta selepas prosiding selesai.

Diana yang berlalu pergi menaiki kenderaan ketika itu menutup wajahnya dengan kipas tangan. 

Farid - melalui pertuduhan pertama dan kedua - didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada seorang anggota polis Konstabel Mohd Nizam Jamaluddin, 23, dan orang awam dikenali sebagai Ashraf Ahmad.

Jika disabitkan kesalahan Farid , Seksyen 323 Kanun Keseksaan membolehkan dia dipenjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi tuduhan ketiga Farid didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap Mohd Nizam dengan niat menghalang anggota polis terbabit melakukan tugas.

Tuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Farid juga dituduh berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan tidak sopan terhadap Mohd Nizam sehingga boleh mendatangkan kemarahan.

Mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 tertuduh boleh denda tidak lebih RM500 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Farid didakwa melakukan kesalahan itu di kaunter Balai Polis Kota Damansara kira-kira jam 1.20 petang pada 11 Januari lalu.

Sementara itu Farid akhirnya dibebaskan daripada tahanan apabila wang ikat jamin - berjumlah RM12,000 - dijelaskan oleh adiknya, Fadzil Bahari Zahari.

Ditemui selepas itu Farid menyatakan rasa bersyukurnya atas apa yang berlaku.

"Alhamdulillah syukur kepada Allah yang memberi jalan hidup yang semakin hari semakin menarik," katanya sebelum dibawa meninggalkan pekarangan mahkamah dengan sebuah kenderaan MPV berwarna hitam.

Lihat Komen
ADS