'PAS pun ada kritik 1MDB dan Najib, tapi secara tertutup'

   

Sering dikecam pemimpin parti pembangkang yang lain kerana didakwa berdiam diri soal skandal 1MDB, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menegaskan beliau sebenarnya turut mengkritik isu itu, malah menegur Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, secara tertutup.

Menurut presiden PAS itu, beliau dan pemimpin partinya bercakap tentang isu 1MDB di parlimen dan turut meminta Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan untuk menyiasat.

Namun, menurut anggota parlimen Marang itu, perkara itu tidak disiarkan kerana media tidak mesra dengan PAS.

“Kami juga berjumpa Najib. Kami berjumpa dia tetapi tak minta projek dengannya. Kami tegur dia. Kami tak hanya tegur dia di Parlimen tetapi kami juga kata kepadanya secara bersemuka.

“Jika dia zalim, kami kata dia zalim di depannya. Kami tak takut. Kami buat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dulu juga,” kata Abdul Hadi seperti dipetik The Malaysian Insight.

Abdul Hadi berkata demikian sebagai menjawab soalan daripada salah seorang hadirin sesi dialog terbuka NGO India di Kepala Batas yang bertanya alasan pemimpin PAS itu berdiam diri dalam isu berkaitan Najib dan 1MDB.

Tegas Abdul Hadi, ketika ada pihak lain meminta projek dengan Najib, PAS memarahinya dan menasihatinya secara tertutup.

“Kami adalah pembangkang yang menasihati bukan hanya marah," katanya.

Dalam menjawab pertanyaan berhubung alasan PAS keluar daripada Pakatan Rakyat, Abdul Hadi menegaskan ia terjadi kerana PKR dan DAP tidak menghormati perjuangan PAS.

“Mereka tak boleh sentuh dasar kami tetapi mereka (sampai) menentang isu hudud di Kelantan.

“PKR opportunist dan tak konsisten, DAP pula chauvinist," katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, PAS menentang hasrat DAP yang mahukan pilihan raya majlis tempatan di kawasan bandar kerana berdasarkan demografik, hanya satu kaum akan menang dan boleh menyebabkan ketegangan.

Katanya lagi, dua parti itu juga mengeluarkan kenyataan menentang PAS tanpa berbincang dengan parti itu.

“Budaya mereka tak konsisten dengan kami,” kata Abdul Hadi.

Abdul Hadi turut menegaskan PAS tidak akan menyertai Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan kerana mendakwa Dr Mahathir akan menggunakan dasar lamanya.

"Jika itu berlaku tidak akan ada kerjasama,” kata Hadi.

Sesi dialog yang disiarkan secara langsung menerusi akaun Facebook PAS Pulau Pinang itu dihadiri wakil NGO India.

Program itu dilihat sebagai percubaan pertama PAS mendekati orang bukan Islam selepas Pakatan Rakyat berkubur pada 2015.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.