Berita Malaysiakini

Mungkin saya terlalu naif tentang KR1M, kata bos Mydin

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Mengulas kegagalan projek Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Datuk Wira Ameer Ali Mydin berkata dirinya mungkin terlalu naif ketika membabitkan rantaian hypermarket Mydin dengan projek yang bertujuan membantu rakyat Malaysia mengatasi peningkatan kos sara hidup itu.

"Saya rasa niat itu sangat mulia, kerajaan mempunyai niat sangat mulia. Kami juga fikir bahawa kerana sebagai rangkaian hypermarket tempatan terbesar, kami perlu terbabit dengan inisiatif ini.

"Kita lakukan ini demi rakyat... kerana pada penghujung hari, kita semua adalah rakyat Malaysia, kita mencari wang di sini dan Mydin membuat RM50 hingga 70 juta setahun.

“Jadi, saya kata, biar kita lakukan ini sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) kita.

"Berapa banyak kita boleh rugi,” katanya dalam temu bual dengan stesen radio BFM.

Ameer berkata sepanjang pembabitan syarikatnya dengan projek KR1M, Mydin mengalami kerugian lebih RM100 juta.

"Mungkin, kita fikir kita mampu menanggungnya. Malangnya, kos logistik di sebalik projek ini sangat besar," katanya.

Ameer menjelaskan tidak seperti perniagaan biasa yang memperluas kedai mereka daripada sebuah pusat, KR1M berusaha memperluaskan perniagaan hingga ke kawasa pedalaman.

"Kamu akan terkejut dengan harga barangan di mana seperti di Kapit, Belaga, di Sabah, Sarawak. Kami hantar barangan ke sana dengan kontena dan ia habis dengan begitu cepat sekali.

"Tetapi kami juga menjual pada harga yang sama yang kami jual di Malaysia Barat untuk kebanyakan barangan.

"Kos logistik, secara serius, berjumlah kira-kira 20 hingga 25 peratus," katanya.

Ameer berkata Mydin terpaksa menanggung kerugian itu dan tidak ada yang diserap oleh kerajaan.

mengenai laporan bahawa wang pembayar cukai melebihi RM100 juta juga dicurahkan dalam projek KR1M, Ameer berkata ini adalah aset yang dibeli oleh kerajaan.

"Biar saya letakkannya dalam perspektif. Apabila kamu membuka kedai KR1M, aset itu, bermaksud pengubahsuaian, gondola, dibayar oleh kerajaan.

"Aset bukan barangan, barangan milik kami, kos operasi juga milik kami, harga kami, kerugian kami, kos logistik tidak ada, saya kerugian sebanyak RM100 juta.

"Mungkin ini tanggunjawab sosial (CSR) untuk kami, ini adalah pengalaman pembelajaran. Kerajaan pada dasarnya membelanjakan wang ke atas aset itu," katanya.

Ameer berkata sementara Mydin terpaksa menanggung kerugian ke atas barangan yang dijual pada harga diskaun, kerajaan tetap mengekalkan asetnya.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah memberi sebarang subsidi dalam KR1M.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melancarkan semula KR1M sebagai KR1M 2.0 di bawah model perniagaan baru selepas Mydin menarik diri daripada projek itu.

[Baca berita asal]