Ulasan Malaysiakini

PM lebih percaya Raja Petra berbanding Dr Ismail?

Zainuddin Maidin  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

ULASAN l Saya tidak tahu kenapa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berasa perlu untuk turut mengapi-apikan sentimen serta emosi Melayu terhadap orang terkaya di Malaysia, Tan Sri Robert Kuok, berdasarkan maklumat seorang yang diketahui umum tidak mempunyai kredibiliti.

Langkah itu dibuat tanpa merujuk peranan Kuok dalam sejarah negara, terutama ketika usaha mengadakan hubungan Malaysia dengan Republik Rakyat China, serta semasa peristiwa 13 Mei.

Najib nampaknya percaya kepada dakwaan Raja Petra Kamaruddin bahawa Kuok mempunyai agenda untuk menggantikan kerajaan sedia ada dengan DAP bagi membolehkan kaum Cina menjadi pemerintah di negara ini.

Jika Najib lebih berhati-hati dan merujuk kepada buku The Reluctant Politician - Tun Dr Ismail and His Time (halaman 6, 49, 171, 172, 189, 194, 217 dan 226) mungkin dia tidak begitu mudah membuat anggapan buruk terhadap Kuok dan menghakis kehormatan terhadap dirinya sendiri.

Tidaklah perlu bagi Najib mengungkit kejayaan Kuok adalah sebab pertolongan kerajaan.

Sahabat karib bekas TPM

Selain Kuok ada lagi orang Cina yang menjadi kaya-raya dengan mudah dan bagaimana kemewahan individu itu diperolehi masih menjadi tanda tanya rakyat.

Kuok adalah rakan rapat timbalan perdana menteri Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman dan keluarganya.

Malah beliaulah yang menjadikan Dr Ismail sebagai pengerusi Lembaga Pengarah Malayan Sugar Refinery dan memilihnya menganggotai Lembaga Pengarah Guthrie Corporation setelah meletakan jawatan atas sebab-sebab kesihatan pada 1967.

Kuok adalah sahabat karib dan rakan kepercayaan Dr Ismail yang diajaknya berunding dalam masalah nasional, terutama mengenai hubungan antara kaum serta keselamatan negara.

Keadaan itu menyebabkan Kuok meanggap Dr Ismail sebagai "the most non-racial, non racist Malay I have met in My life" (Melayu paling tidak bersifat perkauman, tidak rasis pernah saya jumpa dalam hidup) seperti dinyatakan pada halaman 263.

Malah untuk membut ucapannya yang sangat penting pada masa insiden 13 Mei Dr Ismail memanggil Kuok supaya terbang dari Singapura dan menyemak ucapannya dengan pantas sebelum disampaikan menerusi televisyen.

Ketika itu perdana menteri Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj gagal menenangkan rakyat.

Kuok meminda beberapa bahagian ucapan itu dengan persetujuan Dr Ismail (halaman 192).

Ucapan itu yang sangat berkesan dan mengembalikan keyakinan rakyat kepada negara ini apabila Dr Ismail mengistiharkan "democracy is dead in this country" (demokrasi mati di negara ini).

Kemudian beliau memberitahu para wartawan, "a powerful government is one that is not afraid to practice democracy" (sebuah kerajaan yang kuat ialah kerajaan yang tidak takut mengamalkan demokrasi).

Kuok juga mengatur persediaan lawatan rombongan Malaysia untuk perbincangan mengadakan hubungan Malaysia - China dan membincangkan tiga isu besar sebelum lawatan berkenaan, iaitu mengenai sokongan Parti Komunis China kepada Parti Komunis Malaya, kedudukan orang Cina dari China dan perjanjian pertahanan Malaysia - Britain.

Mungkin dalam keadaan cemas, lemas dan panik menghadapi pilihan raya, Najib begitu mudah percaya kepada apa juga maklumat yang diberikan kepadanya tanpa menimbangkan sama ada maklumat itu sahih atau palsu.

Ia adalah kerana beliau percaya semua maklumat daripada penyokong Umno dan kerajaan adalah benar belaka terutamanya yang datang daripada Raja Petra.


TAN SRI ZAINUDDIN MAIDIN bekas menteri penerangan dan bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan Melayu.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.