Berita Malaysiakini

Terowong dasar laut: Zenith hantar surat tuntutan pada Azeez

Susan Loone  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd mengeluarkan surat tuntutan kepada pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Rahim dan ahli perniagaan N Gnanaraja masing-masing bernilai RM3 juta dan RM19 juta.

Sumber yang boleh dipercayai memberitahu Malaysiakini bahawa jumlah berkenaan dibayar Zenith kepada dua pihak berkenaan bagi khidmat rundingan pengurusan risiko dan pematuhan peraturan berhubung projek terowong dasar laut sepanjang 7.2km.

"Ini bagi memastikan kepentingan konsortium dalam terowong dasar laut Pulau Pinang dan kerja lain berkaitan terjamin dari segi undang-undang," kata sumber itu.

Difahamkan, Zenith menyaman dua pihak berkenaan kerana didakwa gagal menjalankan tugas memberikan khidmat rundingan seperti perjanjian dengan Zenith pada Julai 2017.

Zenith mendapat projek berkenaan daripada kerajaan Pulau Pinang melalui proses tender terbuka pada 2013.

"Surat tuntutan itu telah dihantar kepada Abdul Azeez, yang juga merupakan Anggota Parlimen Baling selain kepada Gnanaraja, pada 24 Feb," kata sumber itu lagi.

Sumber itu bagaimanapun enggan menyatakan tarikh akhir surat tuntutan berkenaan.

Zenith merupakan salah satu syarikat yang disiasar Suruhanjaya Pencegahan rasuah Malaysia (SPRM) sejak awal tahun ini berhubung penglibatannya dengan projek terowong dasar laut dan tiga lebuh raya yang bernilai RM6.3 bilion yang akan menghubungkan pulau ke Butterworth.

SPRM setakat ini telah menyoal 70 individu dan menahan empat, termasuk dua pegawai eksekutif berpangkat 'Datuk' bagi membantu siasatan.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy dan Exco Lim Hock Seng juga disoal siasat oleh SPRM awal bulan ini.

Malaysiakini sedang menghubungi Abdul Azeez dan Gnanaraja berhubung perkara berkenaan.

[Baca berita penuh]