Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Jadi, Najib tak berani tuntut RM400 juta rampasan Swiss?'
Diterbitkan:  Mar 1, 2018 1:11 PM
Dikemaskini: 5:15 AM

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mempersoalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang gagal bertindak atau memberi reaksi berhubung dana berkaitan 1MDB bernilai RM400 juta yang dirampas kerajaan Switzerland.

"Adakah perdana menteri begitu malu dengan hakikat bahawa begitu banyak wang 1MDB telah dicuri dan digubah dengan haram sehingga dia tidak berani untuk menuntut pemulangan dana ini?

"Sekurang-kurangnya, sudahkah perdana menteri cuba mendapatkan penjelasan daripada pihak berkuasa Switzerland untuk mengesahkan kesahihan penemuan RM400 juta itu adalah wang yang dicuri dari 1MDB?" soal Pua dalam satu kenyataan hari ini.

Selasa lalu, akhbar Tages Anzeige melaporkan bahawa kerajaan Switzerland mahu menuntut CHF95 juta (RM400 juta) wang dana berkaitan 1MDB yang dirampas daripada beberapa bank.

Walaupun beberapa ahli parlimen Switzerland menyokong dana yang dirampas itu dipulangkan kepada negara asalnya, namun badan kawal selia kewangan Swis, Finma berhujah bahawa hanya mereka yang terjejas akibat tindakan itu boleh memohon pemulangan melalui proses undang-undang.

Dalam kenyataannya, Pua berkata sikap membisu kerajaan amat memalukan lebih-lebih lagi berikutan rampasan kapal mewah ahli perniagaan Low Taek Jho @ Jho Low, The Equanimity oleh pihak berkuasa Indonesia dan Biro Penyiasatan Persekutuan AS.

Kapal layar itu, yang bernilai kira-kira AS$250 juta (RM1 bilion), hanya salah satu aset yang dimahu dirampas oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat kerana didakwa dibeli menggunakan wang yang diselewengkan dari 1MDB.

"Adakah kita akan membiarkan AS menyimpan hasil penyitaan atau rampasan aset-aset ini yang bernilai hampir RM7 bilion, dan tidak melakukan apa-apa?

"Sudahkah Najib meminta ‘rakan baiknya’ Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memulangkan dana itu kepada 1MDB, supaya ia boleh membayar hutang RM40 bilionnya?

"Atau adakah perdana menteri begitu murah hati mahu mendermakan dana itu, seperti yang dilakukannya bagi pihak KWSP dan Khazanah Nasional, iaitu melabur wang berkenaan untuk 'memulihkan' ekonomi AS?" soal Pua merujuk kepada janji-janji Najib untuk melabur berbilion dolar ketika pertemuannya dengan Trump tahun lalu.

Pemimpin DAP itu berkata bahawa membiarkan berbilion-bilion dana yang dirampas itu tersadai di luar negara juga adalah tidak adil, memandangkan banyak rakyat Malaysia dipaksa menyumbang untuk meningkatkan pendapatan kerajaan, seperti membayar cukai GST.

"Wang itu boleh digunakan untuk membina hospital, sekolah dan memperbaiki infrastruktur kami," katanya.

Mendapatkan semula dana ini dan memulangkannya kepada rakyat akan menjadi keutamaan, katanya, sekiranya Pakatan Harapan menawan Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.

Lihat Komen
ADS