Berita Malaysiakini

Usul pembangkang ditolak, BN pula akan ketengah

Shakira Buang  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Jarang-jarang berlaku, anggota parlimen BN turut menyatakan simpati terhadap pembangkang kerana usul mereka untuk membahaskan laporan mendakwa kanak-kanak rumah pangsa di ibu kota kurang zat, ditolak.

Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) Tan Sri Shahrir Abdul Samad (bawah) bagaimanapun berkata masih terdapat cara lain untuk mengetengahkan laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) itu.

“Saya simpati dengan MP Klang untuk bawa usul, usul ditolak.



“Tetapi MP BN akan mengambil peluang dalam perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada sesi ini untuk bawa perkara-perkara yang telah ditimbulkan dalam laporan Unicef itu.

“Maknanya, peluang untuk membahas dan untuk dapatkan jawapan serta pandangan daripada pihak pemerintah boleh dilakukan dalam perbahasan yang berlangsung pada waktu itu,” katanya

Anggota parlimen Klang Charles Santiago (atas) berkata usul tersebut ditolak atas alasan pelbagai agensi kerajaan menjalankan kajian terhadap laporan itu dan tiada keperluan mendesak untuk dibincangkan di parlimen.

"Keputusan speaker itu menggambarkan sikap berpuas hati, dan sebahagian besarnya, sikap kerajaan yang acuh tidak acuh," katanya.

"Ini (usul) harus menjadi keutamaan negara, kerana satu daripada lima kanak-kanak membesar pada kadar lebih perlahan berbanding (kanak-kanak) Thailand, manakala lapan dalam 10 keluarga tidak mempunyai simpanan walaupun RM1."

Laporan berjudul "Kanak-Kanak Pinggiran: Kaji selidik mengenai kemiskinan dan penafian hak kanak-kanak bandar di rumah pangsa di Kuala Lumpur" itu diterbitkan pada 26 Februari lalu.

Ia melaporkan kanak-kanak itu kekurangan dari segi pemakanan, pendidikan, keselamatan dan keadaan hidup yang lain.

Tinjauan dibuat di 17 projek perumahan rakyat (PPR) itu mendapati kemiskinan bandar berkait rapat dengan masalah kekurangan zat di kanak-kanak, dengan 10 peratus kanak-kanak menikmati kurang daripada tiga hidangan sehari.

Ia dilapor mendorong kepada masalah kurang berat badan, terbantut dan kurus kering.