Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Kutip RM4.7 juta, KL Special Force jadi bualan

“Dunia ini tidak akan rosak disebabkan orang jahat, tetapi rosak disebabkan orang baik berdiam diri dan tidak melakukan apa-apa,” demikian antara dialog menarik dilontarkan DSP Roslan dalam filem KL Special Force.

Filem kepolisan yang sarat dengan aksi lagak negeri itu berjaya mengumpul kutipan memberansangkan sejak ditayangkan di pawagam 8 Mac lalu.

“Kutipan terkini KL Special Force untuk empat hari tayangan hingga Ahad ialah RM4.7 juta,” kata penerbit, Datuk Yusof Haslam kepada Malaysiakini.

Kutipan bagi filem ketujuh dan buah tangan terbaru dari Syafiq Yusof itu melebihi Abang Long Fadil yang memperoleh RM2.1 juta selepas empat hari ditayangkan.

Antara pelakon hebat yang menjayakan filem berkenaan ialah Datuk Rosyam Nor yang memegang watak Inspektor Roslan dan Fattah Amin sebagai Inspektor Zul.

Syamsul Yusof pula membawakan watak antagonis, Asyraff.

Sejak beberapa hari ditayangkan, filem ini mendapat sambutan hangat dan mencetuskan fenomena tersendiri di media sosial.

Di laman Twitter juga, penggemar filem aksi tempatan memuji naskhah terbaru Syafiq itu dengan tanda pagar #comfirmlit.

“Semua babak, semua aksi lawan, semua memuaskan. #KLSpecialForce tidak percaya saya berkata begini tetapi Rosyam Nor kot memang #confirmlit,” kata pengguna akaun Syakirah_H.

“KlSpecialForce #ConfirmLit memang taraf filem aksi kelas A! Menggemarinya 100%. Bravo @fattahamin - Hero aksi baru kita. Kami bagi 10 bintang!” tulis pengguna akaun @We5angels

Syafiq, 25, sebelum ini pernah mengarahkan filem seperti SAM: Saya Amat Mencintaimu, Abang Long Fadil, Abang Long Fadil 2, Villa Nabilla dan Desolasi.

Naskhah pertama Fattah

Berbanding Rosyam dan Syamsul, KL Special Force merupakan naskhah pertama buat Fattah.

Filem ini mengisahkan sepasukan unit khas PDRM - diketuai Roslan - memburu kumpulan anarkis yang diketuai Asyraff.

Seorang anggota polis muda bernama Zul diserap dalam unit berkenaan bagi menyelesaikan kes rompakan dilakukan kumpulan berkenaan.

Bagaimanapun hubungan antara Roslan dan Zul bertukar menjadi keruh selepas Asyraff memanipulasi perasaan, minda dan syak wasangka sesama mereka.

FIlem berkenaan ternyata memberi kesan mendalam di hati penonton apabila mereka berterusan membincangkannya di luar panggung.

Di laman Twitter, peminat mencipta tanda pagar #teamLan dan #teamZul untuk menyatakan sokongan masing-masing terhadap watak dua pegawai polis berkenaan.

Rata-rata penonton memberikan memberikan skala pengadaran yang tinggi selain menyarankan mereka yang belum menonton filem berkenaan untuk segera ke pawagam.

Walaupun naskhah yang menelan kos mencecah RM4 juta itu meraih kedudukan terkini di tangga kelapan mengikut carta popular Twitter, tiga hari lalu ia muncul di anak tangga ketiga.

Lihat Komen
ADS