Paling Popular
Terkini

Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Yunos hari ini gagal tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya bagi menyelesaikan isu kes mahkamah yang berkaitan dengannya.

Peguamnya, Datuk Mohd Imran Tamrin yang hadir balai polis berkenaan sekali lagi merayu anak guamnya itu agar segera tampil memberi kerjasama dengan pihak polis.

“Pada petang ini kami menanti beliau tetapi sehingga jam 3:30 petang saya masih tidak dapat apa-apa maklumat atau arahan daripada anak guam saya.

“Saya secara peribadi bersama rakan-rakan peguam yang lain akan terus memberikan nasihat dan kami berharap Jamal dapat menampilkan diri dan memberikan kerjasama kepada pihak polis.

"Ini agar semua pihak dapat penjelasan yang sebenar berhubung hal yang berlaku pada hari Jumaat yang lepas dan menyelesaikan segala persoalan dan tomahan yang sedang tular di kalangan netizen,” katanya.

Mengulas lanjut, Imran berkata, ekoran kegagalan Jamal untuk hadir hari ini, dia boleh ditahan polis di mana-mana.

“Polis ada kuasa tahan dia (Jamal) bila-bila masa dan di mana-mana beliau berada,” katanya.

Terdahulu, ketua Gerakan Baju Merah itu didakwa bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan ekoran mengetuai bantahan penganjuran ‘Better Beer Festival 2017’ (BBF17) di hadapan pejabat pentadbiran kerajaan negeri Selangor pada 5 Oktober lalu.

Jamal juga disiasat mengikut Seksyen 34, Akta Senjata Api 1960 atas dakwaan mempamerkan senjata api di khalayak ramai.

Pada 25 Mei lalu, beliau menghilangkan diri dari Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, tempatnya menjalani rawatan dan prosiding mahkamah kesnya.

Dalam rakaman audio yang dihantar kepada pemberita sebelum ini, Jamal menjelaskan tindakannya itu kerana menganggap tempoh tahanannya telah tamat dan hanya ke Tabung Haji untuk mengeluarkan wang bagi perbelanjaan ikat jamin dan kos berkaitan kesnya.

Semalam, Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor dilaporkan menggesa Jamal untuk menyerahkan diri bagi "selesaikan urusan yang tergendala".

Lihat Komen
ADS