Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

KATA MP | Apabila saya mengikuti polemik ura-ura cadangan Pakatan Harapan untuk melantik seorang peguam kanan sebagai calon Peguam Negara, saya agak teruja untuk memberi dan berkongsi pandangan.

Secara jujur - dan dengan andaian cadangan calon Peguam Negara itu adalah benar seperti dilaporkan - maka saya menyokong sepenuhnya cadangan tersebut tanpa ada sedikit pun apa-apa keraguan.

Calon tersebut - bagi saya - bukan sahaja berpengetahuan dan mempunyai berpengalaman mendalam dalam undang-undang, malahan yang lebih penting - setakat yang saya kenal - beliau ialah seorang peguam kanan yang berintegriti amat tinggi. Ia adalah ciri penting yang perlu ada bagi seorang Peguam Negara.

Saya ada pengalaman bersama-sama beliau semasa mengendalikan kes "menghina mahkamah" (contempt of court) yang difailkan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) ke atas seorang peguam wanita iaitu Puan Fahdah dan Ahmad Lutfi Othman.

Calon Peguam Negara itu mewakili Puan Fahdah dan saya pula mewakili saudara Ahmad Lutfi. Alhamdulillah, kami menang di mahkamah tinggi dan mahkamah rayuan.

Permohonan dan rayuan SYABAS ditolak dengan kos.

Memang calon tersebut, saya lihat, seorang peguam yang amat hebat dan berwibawa.

Daripada perbahasan di alam maya, nampaknya sekali lagi isu perkauman, bangsa dan agama cuba ditonjolkan dalam pemilihan Peguam Negara yang baru.

Terus terang, saya betul-betul muak dan bosan dengan isu perkauman tersebut.

Dengan hormat, saya rasa kita semua kena berlaku jujur. Pertamanya, tiada sebarang peruntukkan dalam undang-undang atau Perlembagaan Persekutuan yang mewajibkan seorang Peguam Negara mesti seorang Melayu/Islam.

Jadi, saya fikir ketinggian perlembagaan dan semangat Perlembagaan Persekutuan sebagai kontrak sosial (social contract) perlu dan wajar dihormati serta dilindungi.

Selanjutnya, kita kena juga lihat sejarah sebelum ini.

Bukankah Peguam Negara sebelum ini - yang dilantik oleh rejim BN - seorang Melayu/Islam? Tapi, lihatlah kerosakan yang beliau lakukan ke atas reputasi dan nama baik institusi Peguam Negara.

Begitu juga, lihatlah siapa yang merosakkan sistem kewangan negara ini dengan pelbagai skandal mega, dan mengapa Peguam Negara berbangsa Melayu/Islam melindungi pihak yang terpalit dengan skandal mega itu yang juga Melayu /Islam?

Lihatlah juga bagaimana wujudnya para agamawan yang tidak segan silu selalu bertindak memberi "nyawa" kepada pihak yang telah rosakkan negara ini. Tolonglah janganlah tutup mata kita.

Sayugia di sini ingin saya ingatkan bahawa Malaysia ini negara untuk semua, bukan untuk bangsa, kaum atau agama tertentu. Titik.

Kita semua ada peranan dan tanggungjawab untuk membangunkan Malaysia baru. Politik perkauman sempit - maaf - sudah jadi sejarah!


HANIPA MAIDIN ialah pengerusi Biro Undang-undang Parti Amanah Negara, merangkap anggota parlimen Sepang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS