Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pada usia mencecah 93 tahun, kesibukan dan komitmen ditunjukkan Tun Dr Mahathir Mohamad barangkali melebihi apa yang dilakukannya ketika kali pertama menjadi perdana menteri selama 22 tahun sebelum ini.

Malah, kesungguhan luar biasa Dr Mahathir itu telah menimbulkan kebimbangan isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah, kerana usia lanjut begitu masih diangkat sebagai perdana menteri.

Kebimbangan yang sama turut dikongsikan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, semasa beliau ditemui beberapa agensi media di Wisma Pertahanan hari ini.

Bagaimanapun, di sebalik usia Dr Mahathir itu barisan kepimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN) yakin dapat terus menggalas amanah yang diberi rakyat untuk mentadbir Malaysia melebihi era anggota parlimen Langkawi berkenaan.

“Kita sentiasa bersedia (pikul amanah dan tanggungjawab yang diberikan Dr Mahathir kepada menteri Pakatan Harapan) dan juga kita tahu dengan gandingan Dr Mahathir dan pengaruh (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) HARAPAN akan jadi lebih mantap.

"Kita juga yakin dapat menggalas (amanah) kalau apa-apa berlaku kepada Dr Mahathir," katanya.

Bagaimanapun Mohamad menegaskan perdana menteri berada dalam keadaan sihat pada ketika ini.

Gabungan HARAPAN berjaya merampas Putrajaya sekali gus membentuk kerajaan dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei lalu.

Seperti yang diikrarkan HARAPAN melantik Dr Mahathir menjadi perdana menteri di sebalik usia beliau yang akan mencapai 93 tahun pada Julai ini.

Sejak itu pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkenaan dilihat sedaya upaya memperbaiki segala kerosakan yang dilakukan kerajaan terdahulu.

Ekoran kesibukan Dr Mahathir itu isterinya Tun Dr Siti Hasmah memuat naik status di laman Facebook rasmi Kelab Che Det memberitahu kerisauannya terhadap Dr Mahathir.

"Saya risaukan kesihatan Tun yang tak cukup tidur.

"Waktu tidur beliau digunakan untuk meneliti setiap dokumen kerajaan.

"Dalam satu malam beliau meneliti lebih 200 dokumen sehingga pukul 4-5 pagi.

"Pukul 7 pagi beliau sudah berada di pejabat," luah Dr Siti Hasmah.

Lihat Komen
ADS