Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wong Tack, Fuziah ketuai jawatankuasa semak semula projek Lynas

WAWANCARA |  Anggota Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh dan Anggota Parlimen Bentong, Wong Tack akan mengetuai jawatankuasa bagi mengkaji semula projek Lynas, kata Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin.

Bercakap dalam satu wawancara dengan Malaysiakini di pejabatnya, Yeo berkata kilang Lynas di Gebeng Kuantan adalah antara beberapa projek berisiko kepada alam sekitar yang telah dikenalpasti pihaknya untuk disemak semula.

Beliau juga telah memaklumkan kepada kedua-dua anggota parlimen itu sebelum mengangkat sumpah sebagai menteri pada 3 Julai lalu.

"Saya telah bercakap dengan mereka dan mereka juga telah bersetuju. Oleh itu kita akan lihat jawatankuasa itu pada minggu hadapan.

"Kami juga akan berjumpa Jabatan Alam Sekitar untuk membincangkan mengenai isu Lynas dan melihat bagaimana kami dapat membentuk jawatankuasa itu, dan kemudian mengambil langkah seterusnya," kata anggota Parlimen Bakri itu.

Beliau berkata projek Lynas akan diteliti oleh jawatankuasa berkenaan dan beliau percaya individu seperti Wong Tack dapat mengendalikannya dengan baik.

Bagaimanapun Yeo menegaskan sebarang perubahan tertakluk kepada peraturan dan undang-undang bagi mengekalkan keyakinan pelabur asing.

Fuziah dan Wong Tack, sebelum ini terlibat aktif menentang operasi Lynas oleh syarikat perlombongan Australia itu berikutan kebimbangan projek itu menjejaskan alam sekitar dan kesihatan. Mereka juga  membuat bantahan sejak sebelum Lynas diberikan Lesen Operasi Sementara (TOL) oleh Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) pada 30 Jan 2012.

Pada 26 Feb tahun yang sama, Wong Tack berjaya menghimpunkan ribuan orang untuk berhimpun membantah Lynas, di tengah-tengah kebimbangan bahawa projek itu melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Fuziah, yang kini merupakan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri dan menjadi anggota parlimen di Kuantan Selama tiga penggal juga secara konsisten membantah projek itu dalam sidang parlimen sebelum ini.

Selain projek Lynas, Yeo juga mendedahkan rancangannya untuk menyemak semula fungsi Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan memberi tumpuan kepada proses penilaian impak alam sebelum sesuatu projek boleh diteruskan.

"Saya fikir sekarang semua projek pembangunan dengan laporan EIA daripada firma perunding akan diluluskan. Tidak ada 'taring' di dalamnya. Setiap orang yang mempunyai laporan EIA boleh mendapatkannya (kelulusan).

"Saya fikir kita perlu memperluaskan kuasa dalam laporan EIA. Minggu depan saya akan berjumpa mereka (JAS) dan membincangkan bagaimana kita, sebagai badan yang mentadbir, boleh menjadi lebih profesional dalam menilai impak alam sekitar terhadap projek-projek yang berbeza," jelasnya.

'Tiada rancangan untuk tenaga nuklear'

Sementara itu, Yeo juga mengesahkan janji Pakatan Harapan dalam manifesto pilihan raya umum ke-14 bagi membatalkan rancangan membabitkan pembangunan tenaga nuklear.

Beliau berkata ini kerana masih terdapat banyak sumber tenaga lain yang masih belum diteroka sebagai alternatif kepada tenaga yang tidak boleh diperbaharui.

"Malaysia tidak memerlukan loji nuklear pada masa ini. Saya fikir kita mempunyai banyak potensi dalam tenaga boleh diperbaharui, contohnya tenaga suria, biomas, biogas, hidro. Ini hanya beberapa contoh tenaga boleh diperbaharui.

Mengenai tarif elektrik semasa pula, Yeo membayangkan berita baik "tidak lama lagi" apabila kementerian itu kini  sedang mengkaji semula peranan beberapa pengeluar tenaga bebas (IPP) yang telah dianugerahkan kontrak melalui rundingan terus.

"Kita perlu memperbaharui sektor tenaga supaya kita dapat memperoleh elektrik yang mampu milik, mapan dan juga terjamin.

"Oleh itu kerajaan sekarang melalui kementerian akan mengkaji beberapa IPP, dan saya fikir ada berita baik minggu depan," katanya.

Lihat Komen
ADS