Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Datuk Seri Najib Razak menyatakan perasaan terharunya yang amat sangat melihat sokongan yang masih diterimanya ketika ini.

Bekas presiden Umno, pengerusi BN dan perdana menteri itu disambut dengan beberapa laungan seperti "Hidup Najib" dan "Bebas Najib" ketika tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kira-kira jam 11.45 pagi tadi.

Najib yang kini berdepan dengan dakwaan jenayah hadir ke mahkamah untuk melunaskan ikat jamin RM1 juta yang dikenakan ke atasnya.

Sebelum ini Najib sudah menjelaskan ikat jamin sebanyak RM500,000 dan bakinya diserahkan kepada mahkamah hari ini.

Ada beberapa individu yang dikenali ramai hadir di pekarangan mahkamah sebentar tadi, termasuk bekas ketua Pemuda Umno Wilayah Datuk Razlan Rafii serta pelakon Ellie Suriaty Omar.

Tidak ketinggalan bekas panel pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang kini sudah dimansuhkan, Datuk Lokman Noor Adam serta bekas timbalan menteri Datuk Rosnah Rashid Shirlin.

Mereka disertai kira-kira 50 penyokong Umno.

Bercakap kepada media selepas menjelaskan ikat jamin Najib berkata beliau menerima sumbangan daripada penyokong Umno termasuk dari luar Kuala Lumpur.

"Saya berasa amat terharu atas sumbangan yang telah diberikan oleh ahli-ahli Umno dari semua peringkat," katanya.

Terbit dari keikhlasan hati

Najib tiba di mahkamah bersama isterinya Rosmah Mansor.

Pasangan terbabit turut disertai anak mereka, Nooryana Najwa dan Noorashman, serta menantu Daniyar Kessibayev. Mereka dilihat memasuki pejabat pendaftar mahkamah bagi urusan dokumentasi.

Proses itu berlangsung kurang dari lima minit sebelum Najib dan Rosmah kelihatan keluar dari pejabat berkenaan.

Menurut Najib beliau menerima banyak sumbangan daripada ahli dan penyokong Umno malah sebelum datang ke mahkamah tadi, ada wakil Umno Tumpat bertemu bagi menyerahkan derma mereka.

"Ini semua menandakan bahawa ahli-ahli Umno dan rakyat biasa menunjukkan kasih sayang mereka kepada pemimpin.

"Mudah-mudahan dengan doa restu (semua) saya dan keluarga dapat melalui ujian besar ini, insya-Allah, dengan jayanya," katanya.

Najib ialah perdana menteri keenam Malaysia dan presiden ketujuh Umno sebelum Pakatan Harapan (HARAPAN) menumbangkan BN pada pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei lalu.

Ekoran kekalahan itu Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi pengerusi HARAPAN dilantik menjadi perdana menteri.

Najib kemudian didakwa dengan tiga tuduhan pecah amanah dan satu salah guna kuasa pada 4 Julai lalu. Hakim kemudian membenarkan beliau diikat jamin RM1 juta.

Bagaimanapun ketua Umno Pekan itu berdepan kesukaran apabila semua akaunnya dibekukan pihak berkuasa.

Sebagai langkah segera penyokong Umno menggerakkan tabung bantuan buat Najib bagi membantunya melunaskan ikat jamin berkenaan.

Kata Najib sumbangan yang diberi penyokong Umno itu amat bermakna dan ia bukan digerakkan oleh arahan sesiapa.

"Ia terbit daripada hati nurani yang ikhlas dan inilah sumbangan yang paling bermakna sekali kerana datang dari hati nurani yang ikhlas setiap ahli Umno," katanya.

Pasangan itu kemudian beredar dari mahkamah dengan diiringi laungan semangat serta takbir.

Sementara itu Razlan memberitahu, antara pihak yang menyumbang kepada tabung derma yang digerakkannya itu datang dari luar negara, termasuk Singapura dan Indonesia.

Lihat Komen
ADS