Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khairy: Walau kena pukulan maut tapi Umno masih 'pekak'
Diterbitkan:  Jul 12, 2018 10:32 PM
Dikemaskini: 7:26 PM

Khairy Jamaluddin yang tewas dalam pemilihan merebut kerusi presiden Umno bulan lalu menyatakan keresahannya terhadap hala tuju yang diambil parti itu kini.

Beliau melihat Umno kini semakin ke arah perkauman selepas tewas pada PRU ke-14 dan baginya itu hanyalah jalan menuju 'kehancuran'.

"Sejak selesai pemilihan Umno, apa yang parti saya buat? Main sentimen kaum dan kutip tabung untuk bekas presiden (Datuk Seri Najib Razak)...Takkan itu saja 'Umno baru'?

"Sudah kena pukulan maut semasa PRU ke-14 (tetapi) masih pekak terhadap suara rakyat.

"Jika modal untuk PRU ke-15 hanyalah momokkan orang Melayu dengan isu seperti pelantikan bukan Melayu sebagai peguam negara dan ketua hakim, lupakan saja impian menawan semula Putrajaya," katanya di Twitter hari ini.

Beliau merujuk kepada bantahan Umno terhadap pelantikan Tommy Thomas sebagai peguam negara pada bulan lalu dan Tan Sri Richard Malanjum sebagai ketua hakim negara semalam.

Dengan nada yang jelas kecewa, bekas ketua pemuda Umno itu berkata parti itu kini perlu memilih sama ada mahu kekal dengan cara itu atau mengambil "jalan tengah".

"Ke kanan (Umno) mungkin menang sorak sementara, tetapi pasti lingkup 10-15 tahun lagi. Haluan tengah bukan mudah dan sukar difahami akar umbi, tetapi itulah jalan yang ada untuk survive," katanya yang kini tidak lagi memegang apa-apa jawatan pusat parti itu.

Sebaik kekalahan pada PRU lalu, Khairy berkata ada keperluan untuk melakukan pembaharuan terhadap Umno termasuk membuka keahlian kepada bukan Melayu.

Antara kempennya sebagai presiden Umno pula adalah untuk menjadikan Umno sebagai pembangkang berwibawa terutama bagi menuntut janji 100 hari Pakatan Harapan (HARAPAN).

Khairy bagaimanapun berkata akan kekal bersama Umno kerana percaya parti itu masih "khemah besar" untuk orang Melayu dengan prinsip sederhana, haluan tengah dan meraikan kepelbagaian.

"Sebab itu saya masih bersama Umno...Cuma saya nak perbetulkan rumah saya ini agar tidak kekal dengan haluan kanan yang ekstrem dan rasis selama-lamanya," katanya lagi.
 

Lihat Komen
ADS