Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Duta Jepun: K'jaan BN tak faham falsafah Dasar Pandang ke Timur

Kerajaan BN sebelum ini tidak faham sepenuhnya falsafah Dasar Pandang ke Timur, kata Duta Jepun ke Malaysia Makio Miyagawa.

Beliau menyebut kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) sebagai contoh, yang mana Jepun merupakan salah satu pembida projek bernilai RM55 bilion itu.

"Berkenaan projek ini, pentadbiran sebelum ini mengesyorkan syarikat luar untuk memohon dan mereka boleh datang ke Malaysia atau Singapura untuk memasang landasan, menyenggara kereta api, menawarkan perkhidmatan dan mendapat keuntungan. Tetapi jika berlaku kemalangan, ia menjadi tanggungjawab (syarikat terbabit).

"Ini bukan dasar Pandang ke Timur. Pendirian kami adalah kami tawarkan teknologi, beri latihan kepada jurutera dan operator. Kami tawarkan semua kemungkinan yang dapat diraih warga Malaysia dan Singapura untuk menyenggara dan menguruskan sendiri stesen pengangkutan berteknologi tinggi ini.

"Inilah cadangan kami tetapi pentadbiran dulu tidak menyukainya, tetapi saya fikir Tun Dr Mahathir Mohamad memahaminya," kata Miyagawa dalam acara makan malam anjuran Kelab Rotary di Kuala Lumpur malam ini.

Beliau berkata, Jepun kekal sedia untuk melatih dan menawarkan peluang kepada golongan muda Malaysia untuk belajar di negara itu dan pulang untuk menyumbang kepada pembangunan negara.

"Tahap maju Dasar Pandang ke Timur ini dipanggil Dasar Pandang ke Timur 2.0, tetapi falsafah sebenarnya tidak begitu difahami pentadbiran lalu," katanya lagi.

Dasar Pandang ke Timur dicetuskan Mahathir pada era 1980-an, ketika mula menjadi perdana menteri. Ketika itu, beliau menggalakkan mencontohi model pembangunan Jepun.

Projek HSR pula dicadangkan pentadbiran bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak namun nasibnya kini tidak menentu selepas Pakatan Harapan (HARAPAN) mengambil alih kerajaan.

Selain Jepun, China juga bersungguh-sungguh untuk membida projek itu.

Kebersihan, ketepatan

Sementara itu, Miyagawa berkata warga Malaysia kini semakin berubah ke arah masyarakat berdasarkan komuniti.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pujian seorang hadirin terhadap sikap warga Jepun ketika kejohanan Piala Dunia di Rusia bulan lalu.

Ketika itu, peminat dari Jepun dirakam sedang mengutip sampah di stadium selepas tamat perlawanan.

Mengimbas kembali sebuah acara yang bermula pada pukul 11 pagi, Miyagawa berkata beliau diminta untuk tiba pada pukul 10.45 pagi untuk menyambut menteri yang juga akan hadir.

"Saya tiba pada pukul 10.44 pagi, tetapi menteri sudah pun ada di sana. Banyak lagi ketika di mana mesyuarat kini bermula tepat pada masanya," katanya sambil ketawa.

Beliau juga menceritakan satu insiden ketika sambutan perayaan jepun, Festival Bon Odori di Malaysia baru-baru ini dengan barisan gerai makanan.

"Menteri besar Selangor yang berada di sana dan beliau terkejut, saya juga terkejut kerana begitu banyak gerai makanan yang cantik tetapi tiada sampah di sekitar," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS